Polis buru penyebar berita palsu bantah vaksin Covid-19

Polis buru penyebar berita palsu bantah vaksin Covid-19

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan jika ada mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu membantah suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kertas siasatan akan dibuka sekiranya PDRM menerima laporan polis berhubung isu itu.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima dan PDRM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Muhyiddin menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/564410