PM tinggalkan negara pergi Indonesia waktu darurat?

Perdana Menteri Meninggalkan Negara Dalam Darurat? : Muhyiddin Yang Memalukan

Menurut Perlembagaan Malaysia, darurat adalah keadaan berkaitan masalah keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang TIDAK DAPAT DIKAWAL oleh pentadbiran BIASA.

Walaupun keadaan dapat dikawal dengan pentadbiran biasa bagi hal pandemik dengan langkah seperti perintah kawalan pergerakan (PKP), penguatkuasaan SOP, program vaksin dan seumpamanya, Muhyiddin menekan YDP Agong untuk mengisytiharkan darurat pada hari yang sama PKP diumumkan pada hari yang sama dia hilang majoriti parlimen.

Ia bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi kepentingan peribadi. Gergasi korporat sudah berpindah ekoran ini – ada yang ke Indonesia, ada ke Singapura. Malaysia juga menjadi destinasi pelaburan yang terendah di Asia Tenggara. Berbilion pelaburan asing ‘lari’.

Muhyiddin ‘menang’ kerana dapat ‘darurat’ untuk menyelamatkan dirinya tetapi Malaysia dan rakyat Malaysia ‘kalah’ kerana negara didaruratkan, dimudaratkan ekonominya dan direndahkan martabatnya di dunia. Dunia hilang hormat, kerana semudah itu, darurat diisytiharkan.

Ekoran darurat, Muhyiddin yang rata-rata tahu, kerjanya tidak sampai 4 jam sehari dan anggota kabinetnya yang besar makan gaji berpuluh ribu setiap bulan hinggalah darurat berakhir pada Ogos 2021. Baru-baru ini, selain makan gaji buta, 14 menteri dan timbalan menteri juga mendapat habuan gelaran ‘Datuk’ dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan. Oh, untuk rakyat, Muhyiddin berikan beras. Itupun hanya di Putrajaya.

Apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1969 akibat rusuhan kaum, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman tidak keluar negara. Timbalannya pula, Tun Razak, membuat gerak kerja berfokus dan dia juga menumpukan semua usaha memulihkan Malaysia dari darurat. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk penyelarasan.

Apabila ekonomi runtuh akibat penyangak matawang pada tahun 1998, Tun Mahathir ketika itu menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara, menggerakkan pakar-pakar ekonomi dan setiap hari bekerja keras mencari jalan keluar dengan data, laporan dan statistik terkini. Malaysia diambang kehancuran ketika itu dan teramat ramai pemilik perniagaan hampir muflis. Ringgit Malaysia dan pelaburan dibawa keluar berbilion-bilion setiap hari. Otak diperah untuk idea dan akhirnya, tindakan mengunci matawang dibuat. Penyangak matawang rugi dan ringgit kembali ke Malaysia lalu ekonomi pulih. Tiada darurat diisytiharkan. Malaysia makmur dan maju selepas itu.

Berbeza kini, dalam keadaan ‘darurat’ yang berlangsung, Muhyiddin dengan mudah dapat keluar negara dan melawat Indonesia. Antara sebab yang diberi untuk mewajarkan lawatan ini adalah untuk ‘belajar dari Indonesia’ tentang vaksin. Umum tahu, Indonesia mempunyai kadar kes dan kematian yang amat tinggi walapun ujian Covid19 dilaksanakan dengan amat terhad. Ia sebab yang amat ‘pelik’.

Apakah yang mahu dipelajari dari Indonesia hingga memerlukan seorang ‘Perdana Menteri’ pergi ‘belajar’ ke sana sedangkan saban hari, pakar pakar kesihatan awam Malaysia sudahpun lama bertungkus lumus dengan data serta progres terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pusat-pusat kesihatan terkemuka di timur dan barat. Kenyataan ini menghina intelek rakyat dan amat memalukan rakyat Malaysia.

Seorang Perdana Menteri yang meninggalkan Malaysia dalam keadaan Malaysia dalam ‘darurat’ adalah amat tidak bertanggungjawab. Malah tindakan ini adalah bukti yang jelas, yang Malaysia tidak perlu pun berada dalam status’darurat’. Muhyiddin, dengan tindakannya yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan berbilion hilang dari Malaysia semata-mata untuk menyelamatkan dirinya. Jawablah di akhirat.

Jangan lupa, apabila pulang dari Jakarta, Muhyiddin dan seantero pegawai pengiringnya juga akan dikuarantin untuk 10 hari. 10 hari lagi tidak perlu bekerja ditambah dengan ‘darurat’ Muhyiddin yang sudahpun tidak banyak kerja.

Seorang Perdana Menteri yang meninggalkan Malaysia dalam keadaan Malaysia dalam darurat untuk alasan yang menghina intelek rakyat hanya membuang masa selain berseronok untuk satu percutian yang tidakpun signifikan hasilnya.

Seorang Perdana Menteri yang tidak banyak kerja, tidak perlu membuat sidang akhbar, tidak bertanggungjawab apabila kabinetnya makan gaji buta dan kini, makan angin dalam keadaan Malaysia berstatus darurat adalah amat tidak bertanggungjawab dan memalukan Malaysia di mata dunia.