PM lancar bulan kesiapsiagaan Nasional hadapi musim tengkujuh

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL).

Penganjuran BKN pada Oktober setiap tahun adalah selaras dengan sambutan International Disaster Day yang disambut pada 13 Oktober.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’, kesiapsiagaan bencana adalah bermula dari rumah dan menjadi tanggungjawab setiap individu kerana semua orang mempunyai risiko terhadap potensi bencana.

PM lancar bulan kesiapsiagaan Nasional hadapi musim tengkujuh
ISMAIL Sabri Yaakob meninjau pasukan keselamatan di bawah unit Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di perkarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya.

“Budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk orang perseorangan.

“Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 (Sendai Framework) menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan,” katanya pada majlis pelancaran itu hari ini.

Menurut beliau, sepanjang bulan ini, terdapat 36 program dan aktiviti dijadualkan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management (CBDRM), Webinar: Mengenali hazad dan bencana di dalam dan sekitar Malaysia, Forum Iklim Kebangsaan- Monsun Timur Laut 2021/2022 dan Tabletop Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Bagi Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2021/22.

Katanya, pihak kerajaan sentiasa berusaha memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa-mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan sewajarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, sebagai persediaan banjir pada tahun ini, pihaknya akan memastikan tahap kesiapsiagaan semua agensi di tahap terbaik dengan melakukan simulasi persediaan bencana dalam bencana (Covid-19).

Katanya, situasi bencana banjir tahun ini dijangkakan sama seperti tahun lepas yang mana berlaku di negeri-negeri tertentu seperti di Pahang, manakala pada tiga bulan pertama tahun depan pula bakal melanda negeri selatan Johor, selatan Pahang, Sabah dan Sarawak.

Justeru, pihaknya akan menggerakkan agensi-agensi keselamatan untuk memastikan apa sahaja keadaan buruk berlaku dapat ditangani sebaiknya.

BACA JUGA : [Video] Negara dilanda banjir besar ragut nyawa, Menteri dilapor dalam majlis tari menari
Mangsa banjir Sri Muda kongsi detik cemas lihat mayat ayah sendiri terapung dalam banjir