PKP : Dua orang sahaja wakil isi rumah dibenar keluar

PKP : Dua orang sahaja wakil isi rumah dibenar keluar

Hanya dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar di bawah prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perintah sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang bermula 1 Jun ini.

Menteri Pertahanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

Selain itu, maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman.

Ismail berkata bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing pula dihadkan kepada dua orang sahaja termasuk pemandu dan penumpang yang disyaratkan untuk duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

“Perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti kenderaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun kata Ismail, waktu operasi dan frekuensi pengangkutan awam berkenaan tertakluk kepada Kementerian Pengangkutan kecuali pesawat.

Sementara itu, kapasiti kehadiran bagi anggota Perkhidmatan Awam terhad kepada 20 peratus bagi tugasan perlu (tidak termasuk barisan hadapan, anggota keselamatan dan pertahanan) dan 100 peratus secara bekerja dari rumah (BDR) bagi bukan perkhidmatan perlu.

Manakala kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu termasuk operasi dan pengurusan terhad kepada 60 peratus, katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/576794