PH gesa kerajaan libatkan segera sektor swasta dalam program imunisasi

Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan untuk mempertimbang kerjasama dengan sektor swasta dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ini bagi mempercepatkan usaha negara mencapai imuniti kelompok 80%, kata Ahli Parlimen dan exco yang membentuk Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PH dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kata mereka, terdapat tanda awal bahawa sistem pemberian vaksin yang sedang dikendalikan Kementerian Kesihatan mungkin tidak mempunyai kapasiti mencukupi bagi mencapai paras 75,000 suntikan sehari, seperti yang disasarkan kerajaan menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin 26 Jan lalu.

Ini kerana, setakat 28 Feb, Khairy menerusi catatan di Twitter berkata, hanya 15,923 rakyat Malaysia telah menerima vaksin.

 

“Kekangan kapasiti ini akan lebih dirasakan ketika fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di mana 9.4 juta dan 13.7 juta orang akan diberi vaksin berbanding dengan hanya 500,000 orang untuk fasa pertama,” kata mereka dalam kenyataan.

Menurut mereka, terma dan syarat kerjasama awam-swasta (PPP) untuk pemberian vaksin perlu dilakukan dengan telus supaya ia tidak diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu sambil menegaskan, vaksin tidak sepatutnya dijual kepada pembida tertinggi dalam sektor swasta ketika bekalan vaksin tempatan masih terhad.

“Mana-mana pihak dari sektor swasta yang memenuhi syarat ditetapkan dalam perjanjian PPP patut diberikan peluang untuk menyertai program imunisasi Covid-19,” kata mereka.

Jawatankuasa Vaksinasi COVID-19 PH yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad itu dianggotai oleh Ahli Parlimen Gopeng Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, Ahli Parlimen Lumut Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, serta exco kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor), Dr Norlela Ariffin (Pulau Pinang), dan Veerapan Supramaniam (Negeri Sembilan).

Terdahulu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia menggesa kerajaan mengizinkan ahlinya membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 dan memberikannya kepada masyarakat.

“Hospital swasta boleh digerakkan dengan cepat untuk melengkapkan usaha kerajaan memastikan majoriti populasi divaksinasi dalam waktu sesingkat mungkin untuk membantu mencapai imuniti kelompok,” kata presidennya, Dr Kuljit Singh.

Kata beliau, hospital swasta bukan berniat untuk mengaut keuntungan melalui penglibatan mereka dalam program imunisasi kebangsaan, tetapi hanya sebagai rakan kongsi kerajaan untuk menjayakan program tersebut.

Ketersediaan vaksin di hospital swasta juga dapat mengekang usaha sesetengah pihak yang cuba “memotong barisan” dalam mendapatkan vaksin, tambah beliau.

Berita penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/02/libatkan-sektor-swasta-segera-dalam-program-imunisasi-ph-gesa-kerajaan/