PH dilihat gagal kerana pentadbiran Mahathir, kata pemimpin DAP

PH dilihat gagal kerana pentadbiran Mahathir, kata pemimpin DAP. Sikap tidak konsisten yang dilihat pada Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh 22 bulan memegang kuasa, menjadi punca utama kegagalan gabungan pembangkang itu dalam pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, minggu lalu.

Seorang pemimpin DAP yang enggan dikenali, berkata ia telah menyebabkan kerosakan jangka panjang yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih malah mungkin juga berdekad lamanya.

Keadaan itu boleh dilihat dalam beberapa kontroversi membabitkan penggunaan tulisan Jawi, penggantian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), peningkatan yang tidak seimbang dalam cukai keuntungan harta tanah dan kontroversi berhubung projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

PH

Sumber itu berkata, ia ditambah dengan masalah dasar serta sikap sombong yang ditunjukkan oleh pemimpin pembangkang dan Jemaah Menteri.

Kekalahan yang diterima oleh PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019 menunjukkan betapa teruknya isu hilang kepercayaan pengundi yang dihadapi oleh PH.

Barisan Nasional (BN) mengalahkan PH dengan meyakinkan di Tanjung Piai apabila memperolehi majoriti 15,086 undi. Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi, lebih dua kali ganda daripada 10,380 undi yang diperoleh pesaing terdekatnya, Karmaine Sardini (PH-Bersatu).

“Rakyat sedang tunggu untuk menghukum PH dan ini akan dibawa sehingga pilihan raya umum (PRU) berikutnya,” kata sumber itu kepada FMT.

“Melaka hanyalah satu lagi manifestasi hukuman terhadap PH di atas kegagalan mereka ketika berkuasa.”

Sumber itu berkata penyokong Cina terhadap gabungan itu juga tidak peduli dengan PH dan DAP.

Berikutan prestasi hambar PH di Melaka pada Sabtu apabila ia hanya berjaya memenangi lima kerusi – menurun daripada 15 kerusi pada 2018 – sebahagian penyokong mengesa supaya Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim disingkirkan.

Saintis politik, Wong Chin Huat merupakan salah seorang yang berkata bahawa Anwar harus berundur selepas partinya, PKR, gagal memenangi sebarang kerusi daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, beliau belum menerima sebarang aduan daripada akar umbi parti mengenai Anwar atau jika beliau harus bertanggungjawab atas kekalahan di Melaka.

“Ia kurang bijak untuk sesiapa menyalahkan Anwar,” kata sumber itu.

Tambahnya, rakyat kecewa dengan kerajaan PH secara keseluruhannya. Anwar bukan sebahagian daripada kerajaan PH yang memerintah pada 2018 hingga 2020, yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.

BACA JUGA : Desak pemimpin Bersatu letak jawatan, ini penjelasan Pak Wan

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] BACA: PH dilihat gagal kerana pentadbiran Mahathir, kata pemimpin DAP […]