PH akan kumpul MP sokong parlimen bersidang segera, persembah senarai kepada Agong.
Pakatan Harapan (PH) akan mengusahakan satu petisyen dalam kalangan Ahli Parlimen yang akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi membuktikan bahawa majoriti Ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.
Dalam kenyataan bersama, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata Majlis Presiden PH juga sedia menyertai jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid jika ia bersidang sebelum 1 Ogos.
“Berkaitan cadangan Perdana Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid, Majlis Presiden berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih untuk melewatkan sidang Parlimen,” kata kenyataan itu.
Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian gabungan itu, Parlimen perlu bersidang secepat mungkin sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos supaya Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbangkan Ahli-ahli Parlimen.
“Pada masa sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik Covid-19 dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini,” katanya.