Satu siasatan menyeluruh akan dibuat terhadap laporan polis seorang peserta Ratu Kaamatan atau lebih dikenali sebagai Unduk Ngadau yang mendakwa telah dicabul salah seorang jawatankuasa penganjur pertandingan itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata, pengadu atau mangsa dalam laporan berkenaan juga akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Siasatan yang dilakukan tidak akan mengambil kira latar belakang sesiapa saja termasuk individu yang didakwa.
“Tidak kiralah siapa pun, undang-undang tetap akan dikuatkuasakan, sesiapa pun tidak boleh melangkaui undang-undang, kita akan siasat,” katanya ketika dihubungi.
Hazani berkata, hasil siasatan nanti akan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri yang mendakwa telah diraba di peha, belakang badan, leher, dan tangannya ketika menaiki kenderaan milik seorang jawatakuasa penganjur.
Laporan polis yang bertarikh 21 Mei itu juga turut viral di media sosial termasuk di Facebook dan WhatsApp.
Dakwaan itu juga turut dikaitkan dengan salah seorang pemimpin sebuah parti tempatan di Sabah.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/02/polis-siasat-dakwaan-peserta-ratu-kaamatan-dicabul-ajk-penganjur/