Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tolak “lockdown” – Azmin

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tolak “lockdown” – Azmin

Menteri Kanan (Ekonomi), Azmin Ali berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menolak “lockdown” disebabkan kesannya ke atas ekonomi dan ia bukan kaedah untuk mengurus pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa sebahagian besar kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 16 Julai ini susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Selangor dan Kuala Lumpur yang merangkumi 25.5% populasi menyumbang 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Azmin berkata, WHO memberi amaran bahawa “lockdown” boleh mendatangkan kerosakan besar ke atas ekonomi, khasnya menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Mahkamah tolak permohonan Azmin WHO

Katanya, pendekatan pragmatik dan fleksibel dalam mengurus pandemik adalah kunci untuk membantu negara mengatasi cabaran itu.

“Pada masa sama, kerajaan perlu mempercepatkan vaksinasi kepada rakyat, terutama golongan paling rentan. Imuniti kelompok ialah penyelesaiannya,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau turut berkongsi poster utusan khas WHO mengenai Covid-19, Dr David Nabarro, yang antara lain menyatakan badan dunia itu tidak menyokong pelaksanaan “lockdown” sebagai kaedah utama untuk mengawal virus itu.

“Satu-satunya masa kita percaya ‘lockdown’ wajar dilaksanakan ialah untuk memberikan anda masa untuk mengenal pasti, menyusun semula, mengimbangi sumber anda dan melindungi petugas kesihatan yang kepenatan,” kata Nabarro dalam poster itu.

Kenyataan Azmin itu menyusul dua hari selepas beliau menyifatkan “tidak adil” untuk menyalahkan sektor pembuatan sebagai sumber utama kes baharu Covid-19 susulan kritikan orang ramai bahawa kilang tidak patut beroperasi sepanjang PKP penuh sejak 1 Jun lalu.

Dalam laporan Rabu lalu Azmin berkata, data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sektor pembuatan menyumbang 9.3% atau 12,872 kes daripada keseluruhan 138,649 kes Covid-19 yang dikesan di negara ini dari 1 hingga 23 Jun lalu.

Katanya, 195 (38.4%) daripada 507 kluster yang dikesan di negara ini sepanjang tempoh itu dikaitkan dengan sektor pembuatan.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kemudiannya dalam siaran langsung di Facebook pada hari sama berkata, 91% kluster di negeri terbabit berkaitan tempat kerja dengan 80% berpunca daripada sektor perkilangan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/02/who-menentang-lockdown-akibat-kesan-ke-atas-ekonomi-kata-azmin/

BACA JUGA : Panas !!! Nazri Aziz umum kembali sokong Muhyiddin