Pertemuan di pusat beli belah dibimbangi cetus penyebaran Covid-19 – Menteri

Adham Baba

Tindakan orang ramai menjadikan pusat beli-belah sebagai lokasi pertemuan keluarga atau sanak saudara terutamanya pada musim perayaan ini dikhuatiri mencetuskan jangkitan baharu Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, terdapat trend masyarakat berhari raya di pusat beli-belah baru-baru ini dan situasi itu mencetuskan kebimbangan pihaknya dalam mengekang peningkatan jangkitan koronavirus.

Beliau mengakui tidak menyangka perkara itu akan berlaku di sebalik larangan ziarah dari rumah ke rumah pada sambutan Aidilfitri minggu lalu.

“Hari ini kita sudah tahu tempat-tempat pertemuan sedemikian tersenarai dalam HIDE (Sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement) tetapi ramai yang tidak dapat beraya di rumah mereka pergi beraya di pusat beli-belah.

“Ia merupakan isu ketara dengan kebimbangan tinggi pada tarikh 13,14 dan 15 Mei jika berlaku pertemuan keluarga di pusat beli-belah dan kita khuatir ia boleh mencetuskan transmisi Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar melalui aplikasi Zoom hari ini.

Beliau berkata, sejak 9 April lalu, kes sporadik meningkat lebih tinggi berbanding kes kluster dengan kerajaan berusaha meningkatkan keupayaan mengesan kontak rapat dengan lebih pantas dan berkesan.

Adham berkata, berdasarkan kes terdahulu, usaha mencari dan mengenal pasti kontak rapat dan pengumpulan sampel misalnya mengambil masa 48 jam di Terengganu dan 72 jam di Sarawak.

“Namun kita telah atasi isu ini dengan pejabat kesihatan daerah telah bertindak menambah jumlah kenderaan dan tenaga kerja untuk siasatan kes dan pengesanan kontak rapat,” jelasnya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan rawatan di semua hospital di seluruh negara.

“Ini termasuk program vaksinasi, pengambilan sampel air liur untuk mengesan jangkitan yang turut melibatkan hospital swasta, universiti selain awam dan usaha membina hospital lapangan antaranya di Kapit, Sarawak, Kelantan dan Pulau Pinang,” katanya.

Mengulas mengenai penyediaan kontena khas sebagai tempat tambahan penyimpanan jenazah yang maut akibat Covid-19 di Hospital Sungai Buloh beliau berkata, ia dibuat disebabkan prosedur pengurusan mayat berkaitan Covid-19 tidak semudah mengurus jenazah biasa selain melibatkan banyak prosedur.

“Kita sebenarnya memerlukan persediaan ruang yang lebih banyak dengan aspek pengurusan jenazah Covid-19 mengambil masa.

“Tambahan pula setiap kematian melibatkan jangkitan Covid-19 memerlukan siasatan lengkap, pengambilan sampel, proses menunggu keputusan dan perincian kontak rapat jenazah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jangkitan gelombang ketiga penularan Covid-19 meningkat dalam kalangan orang muda, namun kes kematian cenderung melibatkan mereka yang berusia dan menghidap lebih daripada satu penyakit kronik atau komorbiditi.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/05/17/usah-bertemu-di-pusat-beli-belah-adham-baba/