Persidangan Parlimen : Media salah petik kenyataan saya, kata speaker

Speaker

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, beliau tidak pernah menyatakan pendirian atau membuat kesimpulan berhubung isu tarikh persidangan Parlimen.

Beliau berkata, sebarang laporan berita mengatakan beliau menganggap keputusan perdana menteri dalam menetapkan tarikh sidang Parlimen adalah “rasional” disalah petik dan disalah tafsir.

Sebaliknya, beliau sekadar merujuk perutusan khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai kewajaran mengadakan sidang Parlimen sama ada pada September atau Oktober ini.

“Saya hanya menyatakan bahawa perdana menteri telah membuat komitmen untuk membuka Parlimen pada September atau Oktober 2021 dan beliau telah menyatakan rasionalnya keputusan itu dalam perutusan khasnya,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

“Saya tidak pernah membuat sebarang kesimpulan bahawa keputusan perdana menteri itu sebagai ‘rasional’ atau ‘boleh diterima atau tidak terlalu lewat’. Sebarang kenyataan itu dalam mana-mana laporan berita adalah tidak benar.”

Azhar berkata, beliau juga tidak pernah membuat kenyataan berhubung kenyataan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Beliau menggesa semua pihak memperbetulkan segera kesilapan berkenaan bagi mengelak maklumat mengelirukan disebarkan kepada masyarakat.

“Sebagai speaker Dewan Rakyat, tugas saya dan komitmen terhadap demokrasi berparlimen kekal utuh. Saya telah beberapa kali memaklumkan Parlimen bersedia untuk bersidang dalam segala aspek serta konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan dan peraturan-peraturan majlis mesyuarat.”

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/18/azhar-nafi-buat-kesimpulan-isu-tarikh-sidang-parlimen/

COMMENTS

Wordpress (0)