Perlu pergi sekolah atau tidak?

Perlu pergi sekolah atau tidak?

Menguruskan sumber manusia ialah perkara yang menyulitkan. Kehebatan Allah SWT menciptakan manusia dengan pelbagai ragam dan corak menjadikan ia sulit. Manakala setiap pelaburan, institusi yang terbina memerlukan pembinaan manusia dahulu berbanding faktor-faktor yang lain.

Sebagai sebuah kerajaan, antara peranannya ialah membina manusia dan menyasarkan sesuatu visi yang jelas untuk dicapai pada masa akan datang oleh manusia itu sendiri. Sistem pendidikanlah alat untuk menggembleng sumber manusia ini.

Sejak merdeka, sistem pendidikan kita berubah berkali-kali seiring dengan perkembangan zaman. Namun, sejak 3 dekad yang lalu, perubahan yang dilakukan terpisah jauh dengan kehendak zaman. Malaysia menjadi negara yang ketinggalan dari pelbagai aspek pendidikan. Rumusan awalnya, fizikal sekolah negara kita adalah dari abad -19, gurunya pula masih dari guru abad ke-20 dan anak muridnya adalah generasi abad ke-21. Dari rumusan ini dapat dilihat dengan jelas jurang yang besar antara tiga komponen pendidikan ini.

Belum dibicarakan lagi soal pengisian dalam sistem pendidikan itu sendiri yang jelas tidak berada pada tahap yang sesuai untuk memasuki pasaran pekerjaan. Buktinya, satu ketika dahulu kita menobatkan seorang pelajar itu dengan bilangan A nya semata-mata. Jika mereka gagal mendapat A, maka selama 11 tahun mereka bersekolah, keseluruhannya gagal. Persoalannya berapa orang yang dinobatkan berjaya? Disekolah separa bandar, tidak sampai 0.5% pelajar yang mendapat keseluruhan A. Maka berseleraklah pelajar gagal berbanding pelajar berjaya. Inilah sistem pendidikan kita.

Sepatutnya dalam keadaan sedemikian, sistem pendidikan kita perlu menyediakan ruang buat mereka yang tidak mendapat A dalam peperiksaan masih dinobatkan sebagai pelajar yang berjaya. Sistem pendidikan yang dibina seharusnya berada pada tahap 100% bersedia untuk menempatkan pelajar dalam pasaran pekerjaan sama ada dia memperoleh A atau tidak. Ini hal yang sangat penting. Lihatlah dengan gagalnya mereka memperoleh A dalam percubaan peperiksaan atau peperiksaan dalaman membentuk pemikiran mereka bahawa tiada maknanya untuk mereka menuntut ilmu lagi disekolah ini kerana begitu jauh untuk mereka memperoleh A. Dunia diluar sana pula, hanya mengiktiraf mereka yang dapat A sahaja dan tiada tempat untuk pelajar yang tidak mendapat A. Maka pilihan yang ada ialah tidak perlulah ke sekolah untuk belajar kerana mereka tidak akan mendapat tempat dalam pasaran.

Erti kata lain, sistem pendidikan itu harus dibina dengan memastikan jika pelajar itu mendapat keputusan peperiksaan A, mereka akan dapat pekerjaan. Jika sebaliknya gagal mendapat A sekalipun, mereka tetap mendapat tempat dalam pasaran kerana sistem pendidikan kita harus mempunyai jalur yang pelbagai mendidik pelajar untuk bekerja dalam pasaran.

Beralih pada zaman sekarang, lihat anak-anak muda sudah mula membentuk pemikiran bahawa pendidikan bukan asas untuk mereka hidup. Asas untuk mereka hidup ialah berjaya menguasai teknologi moden yang ada ditangan mereka. Sedikit demi sedikit, anak muda yakin, tidak tamatkan pelajaran di sekolah tidak menjadi masalah buat mereka. Asalkan mereka berjaya dalam kelangsungan mereka dalam era teknologi. Implikasi PKP kepada anak muda menambahkan lagi pembentukan pemikiran ini. Masa yang lama dirumah dan minat yang kurang baik dalam pelajaran mengubah segala struktur pemikiran mereka.

Mengapa perkara ini berlaku? Ia disebabkan oleh anak muda melihat, adakah segala ilmu yang dipelajari di sekolah diperlukan semasa mereka bekerja? Adakah segala ilmu yang dipelajari mampu membantu mereka menjana pendapatan untuk meneruskan kehidupan? Segala persoalan ini diiringi dengan jawapan ‘TIDAK’. Maka, anak muda kita perlu pergi ke sekolah atau tidak?? Dari jawapan ini, perlulah sistem pendidikan itu dibina dengan memastikan segala ilmu yang dipelajari menyediakan mereka untuk bekerja. Input yang mereka dapati di sekolah digunakan secara maksima semasa mereka bekerja. Apabila keadaan ini berlaku, anak muda kita bergantung pada sistem pendidikan kita dan ia menjadi keperluan mereka sendiri tanpa dipaksa.

Dengan kecenderungan inilah, segala aspek pembangunan insaniah boleh disemai dalam diri mereka. Nilai etika dan kerohanian menjadi pendidikan asas pada mereka di sekolah sebelum mereka belajar untuk bekerja. Dari itu, lahirlah ‘youtubers’ yang bermoral atau pereka IT yang beramanah.

Keadaan ini sangat meruncing dan ia perlu dilihat pada skala yang besar. Tindakan harus dibuat segera. Namun, dengan keadaan pandemik Covid-19 ini, ahli politik yang meneraju sistem pendidikan seolah-olah hilang arah tuju dan wibawa. Segala tindakan dibuat bukan untuk menyelesaikan masalah pendidikan semasa pandemik, tetapi hanya menangguhkan pendidikan semasa pandemik.

Sampai bila kita mahu lari dari menguruskan masalah ini???? Jauh lagi untuk melihat peneraju pendidikan negara membicara dan memulakan rencana yang saya persoalkan di awal rencana ini.

Disediakan oleh,
SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN
Penulis Politik – Tinta Siyasah

Sumber :