Pengisytiharan palsu : Kilang kayu dikompaun RM10,000 guna kelulusan MITI untuk beroperasi

Polis mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik sebuah kilang kayu di Kawasan Perindustrian Sungai Siput di sini, selepas memalsukan butiran dengan mengisytiharkan operasi perniagaan perkakasan sebagai perkhidmatan perlu.

Ketua Polis Daerah Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata selain kompaun ke atas lelaki berusia 70-an itu, lapan pekerja tempatan turut dikompaun RM2,000 seorang.

Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya pada jam 10.45 pagi tadi bersama Jabatan Perhutanan Daerah Kuala Kangsar mendapati kilang itu beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi memalsukan jenis perniagaan.

“Kilang terbabit adalah kilang kayu tetapi diisytihar kepada MITI sebagai perniagaan perkakasan.

“Pemilik premis maklum dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan selain mengaku menyalahgunakan kelulusan itu,” katanya dipetik Berita Harian.

Katanya, tindakan ke atas pemilik premis dilakukan mengikut Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 selain Seksyen 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi lapan pekerja yang dikompaun.

Mohd Khaizam berkata, 17 warga asing pekerja kilang itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut.

Katanya, kilang terbabit diarah tutup serta-merta dan MITI akan diminta membatalkan kelulusan operasi kilang berkenaan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/04/palsu-pengisytiharan-operasi-kilang-kayu-dikompaun-rm10000/

COMMENTS

Wordpress (0)