Penerima vaksin pelik bila lihat balik video suntikan, dos yang diterima kurang dari orang lain

Seperti kebanyakan penerima vaksin Covid-19, ahli pemasaran Anoogrehan Manoharan memutuskan untuk mengambil video suntikannya apabila tiba gilirannya pada pagi 19 Mei.

Pun begitu, ketika melihat rakaman video itu di rumah, dia melihat ada sesuatu yang tidak kena dan kini mendakwa dia mungkin tidak menerima dos vaksin sepenuhnya.

“Saya melihatnya dan saya nampak agak aneh dari segi dos yang disuntik kerana saya juga pernah melihat video lain.

“Saya fikir itu agak pelik, tetapi saya tidak tahu, jadi saya berjumpa dengan beberapa rakan perubatan saya dan ramai di kalangan mereka memberitahu saya kemungkinan besar dosnya lebih kecil daripada yang diperlukan,” katanya kepada Malaysiakini.

Anoogrehan, 48 tahun mendakwa orang yang menyuntik vaksin itu juga tidak menuliskan namanya pada borang persetujuannya.

Dia diberitahu perkara itu sebahagian daripada prosedur standard ketika dia kembali ke pusat pemberian vaksin tersebut untuk mengadu awal hari ini.

Vaksinasi Anoogrehan berlangsung sekitar jam 10 pagi hari itu di World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL), yang menguruskan vaksin Covid-19 AstraZeneca dan Oxford University.

Dia juga berkata seorang wakil di BP Healthcare, yang mengendalikan pusat pemberian vaksin itu, telah memberitahunya pihak berkenaan sedang menyiasat dakwaannya.

Ketika ditanya mengenai kesan sampingan selepas vaksinasi, Annogrehan berkata dia hanya mengalami sakit ringan di tempat suntikan pada malam itu.

Menurut risalah maklumat produk yang terdapat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), satu dos vaksin AstraZeneca ialah 0.5ml.

Ini akan mengisi kurang sedikit daripada separuh panjang picagari 1ml yang biasanya digunakan untuk vaksinasi. Video menunjukkan kandungan dalam picagari suntikan itu jauh lebih rendah daripada itu.

Sebagai perbandingan, dosnya adalah 0.3ml untuk vaksin Pfizer dan 0.5 ml untuk vaksin Sinovac, bagi setiap suntikan.

Ketika diminta memberikan maklum balas, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengatakan pihaknya sedang menyiasat dua kes berkaitan penerimaan dos vaksin kurang.

Kedua-dua kes tersebut didakwa berlaku di WTCKL pada 19 Mei.

“CITF sedang melakukan siasatan terperinci mengenai kedua-dua tuduhan tersebut dan kedua-dua penerima vaksin telah dikenal pasti.

“CITF ingin menekankan bahawa kami selalu mengutamakan kualiti perkhidmatan semua pakar kesihatan yang terlibat bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) termasuk pengamal perubatan swasta yang diuruskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang terlibat dalam NIP.

“Kami tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi standard yang kami tetapkan atau melanggar peraturan apa pun,” katanya.

Dalam keadaan lain, seorang pengguna Instagram mendakwa dia merakam video vaksinasi untuk sekadar suka-suka dan berkongsi dengan keluarganya, tetapi kemudian berkata dosnya kelihatan sangat sedikit.

Dia mendakwa dirinya mungkin hanya menerima sekitar 0.1ml dos vaksin, dan kemudian kembali ke WTCKL untuk menunjukkan video tersebut dan menerima tambahan 0.4ml.

“Moral of the story: Cuba ambil tahu berapa banyak dos yang disuntik, yang terbaik adalah mengambil video untuk keselamatan.

“Pastikan anda mendapat jumlah dos yang betul daripada vaksin AstraZeneca, tetapi jangan menolak vaksinasi,” gesanya.

Video itu tidak tersedia untuk tatapan umum.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/575454

COMMENTS

Wordpress (0)