Penerima 2 dos vaksin boleh rentas daerah, negeri tetapi bersyarat

Oleh MHDAILY

Penerima 2 dos vaksin boleh rentas daerah, negeri tetapi bersyarat. Individu yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19 mungkin boleh diberi kelonggaran untuk makan di restoran (dine-in) dan solat berjemaah di masjid atau surau dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, terdapat beberapa kelonggaran boleh diberikan kerajaan kepada mereka yang telah lengkap divaksin, namun perlu diiringi dengan kadar pematuhan yang tinggi.

Katanya, kerajaan juga antara lain boleh memberi kebenaran pergerakan ren­tas daerah atau negeri bagi ne­geri-negeri yang berada di bawah Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Satu lagi yang boleh diberikan kebenaran adalah pelancongan domestik, seperti di pulau-pulau peranginan,” katanya semalam.

Penerima

Mengulas lanjut, katanya, golongan yang telah lengkap divaksin juga boleh diberikan kelonggaran untuk membeli-belah di tempat yang terkawal.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kebenaran untuk merentas negeri tidak boleh diberikan kepada sesiapa sekali pun bagi mereka yang tinggal di negeri berstatus Fasa Satu PPN.

“Majlis sosial seperti majlis perkahwinan atau parti juga tidak boleh dibenarkan, sama juga dengan pelancongan domestik di kawasan sesak,” ujar­nya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh pula berpanda­ngan bahawa, belum tiba masanya kelonggaran diberikan oleh kerajaan sekalipun kepada individu yang telah lengkap dos imunisasi mereka.

Ini kerana katanya, kehadiran virus masih tinggi dalam komuniti serta ramai rakyat yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kita perlu ingat walaupun ­telah lengkap dua dos vaksin, jangkitan masih boleh berlaku walaupun kurang berisiko mendapat jangkitan kategori 4 dan 5.

“Ada kemungkinan orang yang telah lengkap divaksin berupaya menjadi pembawa asimptomatik virus dan menyebarkan ke orang lain, termasuk varian Delta ketika ini,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan akan membuat pengumuman kelonggaran yang akan diberikan kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 selepas Hari Raya Aidiladha.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jenis-jenis kelonggaran yang akan diberikan itu pula kini sedang diteliti oleh sebuah jawatankuasa teknikal.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/07/22/rentas-daerah-negeri-tetapi-bersyarat/

jika terlepas: Pegawai polis kena cekup ‘disko’ di balai positif dadah