Pendaftaran PN boleh pula segera, Pejuang bawa isu pendaftaran ke mahkamah

Oleh MHDAILY

Seorang penaja parti baharu, Pejuang, ke mahkamah bagi memaksa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membuat keputusan tentang pendaftarannya.

Katanya, permohonan dibuat empat bulan lalu tetapi belum ada jawapan daripada JPPM.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini, pemohon berkenaan, Amiruddin Hamzah, yang juga setiausah agung penaja, mahu partinya didaftarkan dalam tempoh tujuh hari selepas keputusan mahkamah, mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Katanya, kegagalan membuat keputusan bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan yang menjamin hak berpersatuan.

Ketua pengarah JPPM dan jabatan itu dinamakan sebagai responden dalam tindakan ini.

Pemohon mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan responden atau tidak melakukan pendaftaran mereka itu tidak munasabah dan tidak jujur.

Katanya, kegagalan mendaftarkan Pejuang bertentangan dengan prinsip harapan sah.

Amiruddin dalam afidavit menyokong permohonan itu sempat merujuk kepada pendaftaran Perikatan Nasional yang didakwa dilakukan dengan segera berbanding dengan pendaftaran Pejuang.

Bagi semakan kehakiman, pemohon perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu sebelum merit aduan boleh didengar.

Bulan lepas, salah seorang pengasas Pejuang, Dr Mahathir Mohamad, berkata sehingga hari ini beliau belum terima kelulusan daripada JPPM berhubung pendaftaran partinya, walaupun semua syarat dipenuhi.

Katanya pada sidang media, kelulusan bagi pendaftaran parti yang ditubuhkan pada Ogos itu kini bergantung kepada menteri bertanggungjawab.

JPPM merupakan unit bawah Kementerian Dalam Negeri dan menteri sedia ada adalah Hamzah Zainuddin.

Amiruddin pada 29 Okt berkata sudah lebih dua bulan berlalu selepas partinya menyerahkan tujuh permintaan kepada JPPM namun masih belum jawapan bertulis daripada menteri atau JPPM.

Pejuang ditubuhkan oleh kumpulan yang menyokong Mahathir selepas keahliannya terlucut daripada PPBM, yang juga diasaskan bekas perdana menteri itu.

Pengasas lain adalah anak Mahathir, Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun; Senator Marzuki Yahaya; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik; dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/10/pejuang-ke-mahkamah-tuntut-pendaftaran-disegerakan/