Banyak guru yang sangat memahami dan menjaga perasaan anak murid mereka, apatah lagi bila tiba waktu jamuan sekolah.
Tidak semua pelajar mampu membawa makanan yang mewah, namun usaha mereka tetap dihargai.
Tindakan seorang guru, Cikgu Faizal, yang memuat naik video di TikTok menarik perhatian ramai
apabila dia dengan penuh kasih sayang menjamah agar-agar santan yang dibawa oleh salah seorang muridnya.
Dalam video berdurasi 54 saat itu, Cikgu Faizal menceritakan bagaimana murid tersebut
cuba menyembunyikan makanan yang dibawanya kerana berasa malu untuk meletakkannya bersama juadah lain di atas meja.
“Tengok ini, cikgu jumpa kuih ini. Murid saya sembunyi, malu nak bawa keluar. Saya ambil. Mana boleh malu-malu nak bawa keluar, penat mak dia buat tapi tak bagi cikgu rasa,” katanya sambil tersenyum.
Beliau juga mengajak murid-murid lain untuk mencuba kuih tersebut dan tidak lupa memuji kesedapannya, menunjukkan sikap prihatin yang menyentuh hati ramai.
Netizen rata-rata memuji tindakan guru tersebut yang tidak memilih makanan, malah menghargai usaha pelajar dan ibu bapa mereka.
“Saya mengaku saya agak memilih bab makanan, tapi kalau tahu itu dimasak oleh mak kawan-kawan, saya akan makan juga. Mereka masak dengan penuh kasih sayang,” tulis seorang pengguna.
“Cikgu, terima kasih. Walaupun saya bukan mak budak yang buat kuih itu, saya sangat hargai tindakan cikgu,” ujar seorang lagi.
Ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri: “Masa jamuan sekolah dulu, saya bawa agar-agar tapi tak habis. Ustazah saya minta izin nak bawa balik, katanya kesian mak saya penat buatnya.”
Tindakan sebegini menunjukkan betapa besarnya peranan guru dalam membina keyakinan anak murid, selain mengeratkan hubungan antara mereka.
BACA: Bermula dengan tidak direstui keluarga, ini kisah disebalik kelahiran Grab