Penasihat Khas PM minta orang ramai ubah tingkah laku hadapi Covid-19, bukan bina lebih hospital

Membina lebih banyak hospital tidak akan dapat menyelesaikan masalah COVID-19 sekiranya orang ramai tidak mengubah tingkah laku mereka, kata Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Beliau berkata dalam menangani pandemik itu, langkah awal perlu bermula dengan orang ramai mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan mempengaruhi mereka di sekeliling.

“Kita perlu mengubah tingkah laku kita. Kita perlu membantu, fikirkan petugas barisan hadapan yang berjuang, bekerja keras dan tertekan,” katanya dalam sesi webinar bertajuk: Perniagaan Dalam Era COVID19: Menetapkan Semula Senario Perniagaan dengan COVID-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang bertindak sebagai moderator pada sesi berkenaan yang turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Associates Sdn Bhd Datuk Seri Idris Jala.

Dr Jemilah juga menzahirkan kebimbangan negara-negara kurang maju mempunyai akses yang terhad kepada vaksin COVID-19 kerana negara-negara kaya membeli lebih daripada yang mereka perlukan.- AA