Pemuda Umno anggap Rais Yatim hanya kemuka dalih isu Undi 18 tahun

Pemuda Umno anggap Rais Yatim hanya kemuka dalih isu Undi 18 tahun

Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang mendakwa terdapat kekangan untuk melaksanakan undi 18 tahun disifatkan sebagai satu dalih, kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi berkata, dakwaan tersebut turut dilihat sebagai cubaan meremehkan anak muda untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Adalah tidak wajar untuk beliau (Rais) mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Pemuda BN merasakan semacam wujud usaha untuk menggagalkan undi 18 automatik ini yang hakikatnya telah diluluskan setelah dipinda Perlembagaan dengan undian sebulat suara di Parlimen,” katanya menerusi Facebook beliau pada Khamis.

Asyraf Wajdi berkata, dakwaan Rais turut dilihat bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 November lalu.

“Ini kerana, menteri berkenaan (Takiyuddin) telah pun menjelaskan di Parlimen bahawa pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini,” katanya.

Sehubungan, beliau berkata, Pemuda BN mendesak kerajaan supaya segera menyatakan pendirian dan menjelaskan status pelaksanaan undi 18 tahun tersebut.

“Ini bertujuan agar rakyat terutamanya generasi muda tidak merasa terhina atau dikhianati dengan kenyataan bercanggah daripada pemimpin parti pemerintah,” katanya.

Pada Rabu, Rais memaklumkan kelayakan mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Rais mendakwa, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar undi 18 kerana negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Katanya ia memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi usia 18 tahun turut memakan masa lama.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128027/BERITA/Politik/Undi-18-tahun-Dakwaan-Rais-dianggap-sebagai-dalih

COMMENTS

Wordpress (0)