Pemuda PKR tetap anggap Mahathir punca ketidaktentuan politik negara kini

Pemuda PKR tetap anggap Mahathir punca ketidaktentuan politik negara kini

Kongres Pemuda PKR berlangsung secara maya namun gesaan perwakilan supaya parti itu tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Dr Mahathir Mohamad terus lantang, sama seperti disuarakan sayap Wanita semalam.

Gesaan untuk tidak bekerjasama itu adalah antara usul diluluskan pada akhir kongres yang berlangsung hari ini, bersama seruan Pakatan Harapan (PH) untuk memasuki pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Perwakilan Terengganu, Yuslaini Azmi, yang mencadangkan usul menyokong penuh Anwar sebagai Perdana Menteri, berkata negara memerlukan pemimpin yang boleh menyuarakan keprihatinan rakyat dan melaksanakan dasar mesra rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita telah memberikan Dr Mahathir peluang untuk memimpin (bawah PH) tetapi beliau meletakkan jawatan, disebabkan itu, negara berdepan ketidaktentuan ketika ini,” katanya.

Wakil Pemuda PKR Pahang, Ahmad Saifullah Razali, turut mengusulkan supaya parti menolak kerjasama politik dengan Mahathir.

Beliau berkata, Mahathir gagal untuk menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar sebagaimana dijanjikan dan tidak melaksanakan pembaharuan ketika PH memerintah ketika beliau berkuasa.”

“Beliau akan menjadi beban kepada parti seperti yang kita lihat ketika beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri ketujuh,” katanya sambil menambah Mahathir turut gagal untuk berbincang mengenai perletakan jawatannya bersama parti komponen PH yang lain, sehingga akhirnya mengakibatkan PH tumbang.

Ahmad berkata, Mahathir juga tidak lagi mempunyai visi yang jelas serta idealisme untuk memimpin negara.

Minggu lalu, Mahathir berkata, beliau tidak akan bekerjasama dengan PH atau Perikatan Nasional pada PRU akan datang kerana tidak mahu dikaitkan dengan beban politik kedua-dua parti.

Selain tidak mahukan kerjasama dengan Mahathir, perwakilan turut membangkitkan isu kesusahan rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19 yang memerlukan perhatian penuh kerajaan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/05/laungan-tolak-mahathir-bergema-lagi-pada-kongres-nasional-pemuda-pkr/