Pemimpin Umno senarai 7 menteri yang tidak berfungsi

Pemimpin Umno senarai 7 menteri yang tidak berfungsi

Seorang pemimpin Umno hari ini menyenaraikan tujuh menteri – kebanyakannya dari Bersatu – yang didakwanya gagal memainkan peranan serius ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Menurut ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, berkata menteri-menteri terbabit dilihat gagal berfungsi secara berkesan bagi menangani wabak berkenaan.

Tujuh menteri yang disorotnya ialah Antara menteri yang dilihat gagal berfungsi ialah Menteri Luar Bandar, Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun; Menteri Pendidikan, Radzi Jidin; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Sukri; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

Mengenai Nancy, Razlan berkata dia ingin tahu kenapa menteri terbabit “berlepas tangan” apabila ada kluster di kementerian berkenaan, selain mendakwa ahli parlimen Batang Sadong itu tidak turun padang.

Kata Razlan, Nancy sepatutnya melihat sendiri pelaksanaan gelembung pelancongan secara dekat dan memantau keadaan berkenaan, bukannya berpeluk tubuh ketika banyak isu timbul seperti di Genting Highlands.

“Bukankah ini dibawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan?” katanya dalam kenyataan dibuat hari ini.

Berkenaan Azmin pula, Razlan mendakwa ahli parlimen Gombak itu berdiam diri ketika banyak kilang dikesan mencatatkan kes Covid-19.

“Kenapa tak turun sendiri melihat keadaan. Apabila pergi ke Arab Saudi, mana duit bawa masuk negara? Kenapa pentingkan gambar (mengelap lantai) daripada tanggungjawab membawa pelaburan ke dalam negara?” katanya merujuk kepada lawatan rasmi Azmin ke luar negara baru-baru ini.

Ancaman Covid-19 belum selesai

Mengenai Hamzah pula Razlan menyalahkah ahli parlimen Larut itu sebagai gagal memastikan penguatkuasaan prosedur operasi standard secara berkesan.

“Banyak sangat kluster kayangan yang langgar (SOP) tapi tindakan diambil jadi bahan lawak rakyat,” katanya.

Tambah Razlan, apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin gagal memakai pelitup muka Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu gagal memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan sedangkan rakyat biasa dikenakan denda beribu ringgit jika mengingkari peraturan tersebut.

Razlan turut menyalahkan Abdul Latiff atas kegagalan ketua-ketua kampung di seluruh negara menggalakkan orangr amai mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Zuraida pula dikaitkan dengan kegiatan NGO Penggerak Negara yang didakwa Razlan lebih diutamakan bekas naib presiden PKR itu berbanding membantu rakyat berdepan ancaman Covid-19.

Zuraida Kamaruddin
“Kenapa tidak melihat setiap sen yang dibelanjakan oleh NGO itu sepatutnya digunakan untuk membantu mendaftarkan orang ramai untuk vaksinasi?” katanya.

Tidak ketinggalan disentuh Razlan ialah salah seorang menteri kabinet Muhyiddin Yassin, iaitu Radzi, yang didakwa sehingga kini gagal menguruskan pengagihan komputer riba kepada pelajar.

“Masalah murid-murid masih tidak selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Razlan berkata Muhyiddin sepatutnya bertindak sebagai ketua kerajaan yang berkesan dengan mengarahkan setiap kementerian berganding bahu dalam krisis Covid-19.

“Setiap kementerian mesti diarahkan memberi fokus kepada krisis Covid-19, duit negara semakin habis, bajet pembangunan habis diedarkan.

“Apa gunanya projek-projek diagihkan sekarang sedangkan ancaman Covid-19 tidak selesai?” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/576315