Pemimpin Bersatu dakwa pembangkang tak ikhlas sambut pelawaan PM

Pemimpin Bersatu dakwa pembangkang tak ikhlas sambut pelawaan PM.

Tindak-tanduk Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang gemar bermain politik dalam waktu getir khususnya ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 sangat dikesali, apatah lagi rakyat masih terkesan dengan krisis kesihatan dan ekonomi.

Ketua Bersekutu Bersatu Bahagian Klang, Nallan Dhanabalan berkata, kenyataan dan suara mereka yang menyambut gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk bekerjasama rentas parti juga dikhuatiri tidak ikhlas dan hanya muslihat untuk laba politik.

Pemimpin

“Sekiranya Ahli-ahli Parlimen pembangkang benar-benar jujur, maka tawaran gencatan politik dan kerjasama bipartisan Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas telah disambut dengan jiwa besar dan hati terbuka.

“Keikhlasan Tan Sri Muhyiddin menyalurkan peruntukan khas Covid-19 sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum ini bukan sahaja tidak dihargai, malah menyerlahkan sikap mereka sebenar hanya mencari keuntungan politik.

“Adalah lebih baik sekiranya golongan profesional dilantik berbanding mereka. Negara tidak ketandusan bakat profesional dan pakar lapangan yang saya percaya lebih efektif untuk membantu negara keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, DAP menyatakan kesediaan menyambut pelawaan Perdana Menteri baharu itu untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pendirian itu dibuat atas pertimbangan keadaan semasa iaitu menyelamatkan nyawa rakyat serta mengatasi isu kesempitan hidup mereka.

Namun Guan Eng melihat tawaran itu mestilah memberi makna untuk matlamat tersebut dan bukannya hanya membenarkan keputusan Putrajaya.

“Demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, DAP sanggup mempertimbangkan tawaran untuk kepimpinan pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Asalkan ia bukan sekadar untuk mencukupi syarat dan mengiakan pandangan kerajaan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Nallan juga merakamkan penghargaan kepada Ismail Sabri di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan dalam satu istiadat mengangkat sumpah di Istana Negara, Sabtu lalu.

“Sayap Bersekutu Bersatu Bahagian Klang ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

“Bersekutu Bersatu Bahagian Klang turut ingin menzahirkan penghargaan dan rasa setinggi-tinggi terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin di atas jasa dan bakti beliau mengemudi negara sepanjang 17 bulan lalu,” katanya lagi.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/23/ph-tidak-ikhlas-sambut-pelawaan-pm-ada-muslihat-demi-laba-politik/

Baca Juga : Panas !!! Tular poster Azmin bakal tarik sokongan jika tak jadi TPM, ini penjelasan Baru Bian

Artikel ini disiarkan pada 23/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)