Pemimpin Bersatu cabar Anwar berhenti berpolitik dalam sidang parlimen

Pemimpin Bersatu cabar Anwar berhenti berpolitik dalam sidang parlimen

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dicabar memberikan jaminan bahawa dia tidak akan menggunakan pembukaan sidang parlimen untuk kepentingan peribadi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, pembukaan semula parlimen perlu digunakan untuk membicangkan isu-isu rakyat.

“Tetapi mana jaminan dan komitmen ketua pembangkang dan anak-anak muridnya bahawa sidang parlimen yang akan diadakan itu wajib digunakan untuk membincangkan isu-isu rakyat dan bukan untuk mengejar impian politik peribadi dengan cara menggugat kestabilan pentadbiran negara?”

“Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sentiasa terbuka menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak untuk kebaikan bersama.

“Adakah Anwar sanggup beri jaminan bahawa segala rencana politik peribadi akan dihentikan?” katanya dalam kenyataan.

anwar

Wan Saiful berkata, Anwar dan Pakatan Harapan juga bersungguh-sungguh cuba memposisikan diri sebagai menyokong titah Seri Paduka Baginda agar parlimen segera bersidang.

“Ini menyerlahkan hipokrasi mereka kerana sejak bila pula mereka ini betul-betul mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu?

“Saya syak Anwar dan anak-anak muridnya begitu galak menyokong kali ini kerana sudah tidak sabar untuk menyambung usaha menggugat kestabilan negara demi untuk merampas kerajaan.

“Walaupun YDP Agong dan rakyat mahukan semua pihak berhenti berpolitik sementara negara berperang dengan pandemik Covid-19, Anwar dan muridnya masih rakus ingin merampas kuasa,” kata Wan Saiful.

Sebelum ini Anwar menggesa Muhyiddin mengundurkan diri daripada jawatan perdana menteri jika enggan mengendahkan perintah Agong agar parlimen bersidang segera.

Anwar berkata, kabinet Muhyiddin “tidak rasa malu” walaupun Agong berulang kali menyatakan parlimen harus bersidang secepat mungkin.

Kerajaan Muhyiddin kini didakwa memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat, selepas mengambil alih kuasa daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020.

Pemerhati berpendapat, darurat diisytiharkan bagi mengelakkan undi tidak percaya dibuat terhadap Muhyiddin. Namun kerajaan memaklumkan darurat diisytiharkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/581480

BACA JUGA : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tolak “lockdown” – Azmin