Pemilik nasi kukus failkan saman ekoran dilabel penunggang agama

Pemilik syarikat Nasi Kukus Tonggek (NKT) Group Sdn Bhd memfailkan saman fitnah terhadap salah seorang bekas pemegang lesen perniagaan syarikat itu yang didakwa menuduh mereka sebagai ‘scammer’ dan ‘penunggang agama’.

Tuntutan saman itu dikemukakan oleh Muhammad Nur Aiman Basuni, 28, dan isterinya, Siti Nabilah Mohamad Isa, 29, serta syarikat mereka sebagai plaintif.

Mereka menamakan pemilik syarikat Produklega Supplies, Muhammad Afiq Faisal Shamshuri, 32, sebagai defendan pertama dan Nur Hazreen Mohd Ramzi, 32, yang juga bekas pemegang lesen perniagaan jenama NKT, sebagai defendan kedua dalam saman yang difailkan pada 6 September lalu melalui menerusi peguam Datuk Adnan Seman.

Pemilik nasi kukus failkan saman ekoran dilabel penunggang agama

Muhammad Nur Aiman (kanan) dan isterinya, Siti Nabilah Mohamad Isa menunjukkan penyata writ saman difailkan terhadap bekas pemegang lesen perniagaan NKT kerana memfitnah mereka sebagai ‘scammer’. – Foto Sinar Harian

Tarikh sebutan kes itu belum diputuskan lagi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam writ saman yang dikeluarkan Tetuan Adnan Sharida & Associates, plaintif mendakwa defendan kedua ada membuat, menyiarkan dan menerbitkan sembilan kumpulan penyataan fitnah melalui akaun Twitter @reenramzi, bermula 3 Julai 2021 sehingga 3 September lalu.

Antara kenyataan fitnah dikemukakan defendan kedua adalah kedua-dua plaintif didakwa ‘scammer’ alaf baharu, penunggang agama, sukar dihubungi dan gagal memenuhi tuntutan perjanjian pelesenan untuk membuka outlet NKT di Setia Alam sehingga kini.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat tanpa sebarang asas, mencemarkan reputasi dan berniat jahat.

Plaintif antara lain menerangkan mereka memberi kebenaran menggunakan lesen NKT kepada defendan bagi tujuan perniagaan berbentuk ‘delivery hub’ di sebuah premis di Setia Alam dan bentuk perniagaan lot kedai di pasar raya Aeon Kota Bharu pada 13 Februari lalu.

“Dakwaan plaintif gagal memenuhi perjanjian pelesenan untuk membolehkan premis NKT di Setia Alam beroperasi juga tidak tepat kerana defendan sudah mengetahui lebih awal projek renovasi premis tergendala akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Selain itu, dalam perjanjian pelesenan, kedua-dua pihak bersetuju kos renovasi ditanggung sendiri oleh pihak defendan dengan pihak kami hanya menguruskan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba dan lain-lain kerja bagi membolehkan cawangan perniagaan NKT di Setia Alam dapat dimulakan.

“Justeru, plaintif tidak boleh dipersalahkan kerana urusan mendapatkan lesen PBT dan bomba tidak dapat dibuat susulan kontraktor defendan sendiri tidak dapat memuktamadkan kerja-kerja renovasi,” kata Adnan dalam satu sidang media secara maya pada Selasa.

Selain itu, plaintif turut menafikan mereka cuba mengelak daripada mengadakan pertemuan dengan defendan bagi membincangkan soal ‘exit plan’ susulan defendan tidak lagi berminat untuk meneruskan perjanjian perlesenan dengan NKT.

Plaintif juga mengenal pasti defendan telah membuat beberapa kesalahan material semasa mengendalikan perniagaan NKT di Aeon Kota Bharu.

Kesalahan itu seperti defendan gagal menggunakan pakej NKT yang diumum pakai oleh semua pemegang lesen perniagaan NKT, tidak turut serta dalam pelancaran menu baharu iaitu NKT Daging Harimau Menangis selain aduan daripada pelanggan.

Bagi mengelakkan defendan mengulangi kesilapan sama dan merosakkan reputasi plaintif, satu surat amaran dikeluarkan plaintif pertama menerusi Bason Group Holding Sdn Bhd pada 25 Julai 2021.

Pada masa sama, plaintif turut menafikan tuduhan defendan bahawa terdapat pengiraan salah terhadap hasil jualan diperoleh daripada outlet NKT di Aeon Kota Bharu.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi mahkamah bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan penyataan-penyataan fitnah daripada mana-mana platform media.

Plaintif juga menuntut defendan memulangkan semula manual pelan perniagaan NKT susulan penamatan perjanjian pelesenan pada 27 Ogos lalu.

Plaintif turut menuntut kedua-dua defendan memohon maaf dalam tempoh 48 jam, memadamkan semua hantaran atau ciapan berbaur fitnah di semua platform media sosial serta tuntutan ganti rugi.
“Meskipun kes ini sudah dibawa ke mahkamah, ruang untuk proses mediasi masih terbuka luas kepada defendan,” kata Adnan lagi.

Sementara itu, Muhammad Nur Aiman berharap tuntutan saman fitnah ini dapat menjernihkan kembali kemelut yang melanda perniagaan syarikat serta mengembalikan keyakinan pelanggan serta 17 pemegang pelesenan NKT yang terus setia bersamanya.

Jelas beliau, syarikat NKT tidak pernah sesekali cuba mengabaikan kebajikan dan permasalahan dihadapi setiap pemegang lesennya, bahkan terdapat sebilangan mereka yang sudah membuka cawangan NKT lebih daripada satu outlet.

“Banyak pemegang lesen NKT yang menyuarakan rasa bimbang tindakan serangan media sosial oleh defendan akan menjejaskan hasil perniagaan mereka.

“Kami berharap tindakan mahkamah yang diambil terhadap defendan dapat melenyapkan segala spekulasi serta publisiti buruk yang mungkin merosakkan imej NKT pada masa akan datang,” katanya.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/dilabel-penunggang-agama-pemilik-nasi-kukus-tonggek-fail-saman-318472

BACA JUGA : Rancangan Singapura ‘hidup bersama Covid-19’ terbantut dengan kehadiran varian delta