Pembelajaran online beri tekanan kepada guru

Penutupan sekolah susulan wabak Covid-19 memberi kesan kepada guru serta pelajar, kata aktivis pendidikan yang percaya guru tertekan untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan.

Mak Chee Kin dari Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) berkata, arahan kerja dari rumah dan pembelajaran dalam talian boleh mengganggu keseimbangan kerja dan kehidupan guru.

“Tiada had dalam bekerja kerana semua boleh dibuat secara dalam talian. Oleh itu, mereka dijangka bersedia 24 jam setiap hari sepanjang minggu.

“Selain itu, ibu bapa hanya bergantung pada guru dan meletakkan harapan tinggi kepada mereka,” katanya.

Guru yang berdedikasi dan bertanggungjawab, terutama mereka yang tidak mahir dengan digital, juga akan berasa tertekan dalam menyediakan bahan pengajaran dalam talian.

Mak berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempunyai sistem komprehensif yang merangkumi kesejahteraan semua guru dan yang lain.

Beliau juga menimbulkan kebimbangan terhadap guru yang menggunakan wang mereka sendiri untuk menyediakan bahan pembelajaran.

“KPM adalah satu-satunya kementerian yang menyaksikan kakitangan (guru) menggunakan wang sendiri untuk menyediakan bahan pembelajaran kepada pelajar.

“Selain itu, KPM tidak menyediakan peralatan yang mencukupi, seperti komputer dan pencetak kepada guru.

“Guru perlu membayar sendiri harga bahan, kuota internet dan menggunakan gajet mereka sendiri untuk membantu pelajar, namun masih ada yang berkata usaha itu tidak cukup,” katanya, selain menambah bahawa kesukaran itu akan menjejaskan mereka dalam jangka masa panjang.

Harry Tan, setiausaha agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), berkata, guru selalu dibebani dengan kerja yang tidak berkaitan dengan pengajaran.

“Tanggungjawab tambahan lain ialah berhubung dengan ibu bapa bagi mengawasi pelajaran anak-anak mereka, mendisiplinkan anak-anak dari jarak jauh dan menarik perhatian pelajar melalui monitor,” kata Tan.

Fatin Amirah, seorang guru di Tenby International Primary School, berkata, ibu bapa lebih mudah terganggu dan lebih kerap menghubungi guru.

“Kebanyakan pertanyaan adalah mengenai latihan pelajaran, bagaimana untuk menyokong pembelajaran anak-anak mereka dan tentang mempersiapkan bahan terlebih dahulu untuk aktiviti anak-anak mereka,” katanya.

Fatin juga percaya penutupan sekolah menyebabkan kualiti pengajaran merosot.

“Jangkaan kualiti pengajaran kita terganggu. Kelas fizikal membolehkan kita mengajar sambil menunjukkan isi pelajaran dan memantau perkembangan pelajar. Tetapi sekarang, sukar bagi guru untuk menilai peningkatan murid,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/22/guru-tertekan-kerana-sekolah-ditutup-kata-kumpulan-pendidikan/