Pembalakan di Kedah diteruskan seperti biasa, kata MB

Pembalakan di Kedah diteruskan seperti biasa, kata MB

Pembalakan di Kedah diteruskan seperti biasa, kata MB. Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri ketika ini tidak boleh membatalkan kelulusan membalak sebanyak 75,000 hektar di kawasan luar dan dalam Ulu Muda kerana perlu membayar pampasan bernilai puluhan bilion ringgit kepada syarikat yang sudah membayar premium.

“Semua kelulusan yang diberikan itu bermula 2014 sehingga 2020 sebelum kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah mengambil tampuk pemerintahan negeri ini.

“Sudah berkali-kali saya tegaskan bahawa kita ada kelulusan lama yang begitu banyak iaitu 22,000 hektar di kawasan Ulu Muda dan lebih 50,000 hektar di luar kawasan Ulu muda.

“Apabila satu-satu kawasan diluluskan, dibayar premium dan dibuat penandaan sempadan, mereka akan memohon proses lesen menebang.

“Lesen ini bergantung kepada kuota penebangan dan untuk kuota penebangan Kedah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diberi sebanyak 4,200 hektar setahun.

pembalakan

“Jika hendak dibatalkan kelulusan 75,000 hektar ini, saya tidak dapat membayangkan berapa puluh bilion perlu disediakan untuk membayar pampasan kepada syarikat yang membayar premium di kawasan yang diluluskan sebelum ini,” katanya pada sidang media secara dalam talian di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai isu air keruh di Puncak Janing yang tular di media sosial sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sangat berharap netizen di media sosial tidak mudah percaya dengan tuduhan semborono yang sering mengaitkan aktiviti pembalakan dengan kerajaan negeri.

Katanya, kejadian air keruh di kawasan tadahan air di Hutan Lipur Puncak Janing, Padang Terap adalah berpunca daripada aktiviti penandaan sempadan antara hutan simpan dan juga kawasan eko pelancongan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK).

“JPNK sudah membuat kenyataan. Aktiviti penandaan juga telah diberhentikan dan perbincangan dilakukan bersama penduduk kampung bersama jabatan berkenaan.

“Menteri Besar (MB) kerjanya bukan menebang kayu balak kerana urusan ini diuruskan oleh JPNK. Kalau tuan-tuan hadir ke Pejabat Menteri Besar, satu pun fail berkaitan hutan tiada di sini.

“Saya harap netizen tidak terpengaruh oleh pandangan yang dilemparkan sembrono oleh pihak tertentu apabila melihat kayu balak di atas jalan raya, mereka akan mengaitkan dengan MB,” katanya.

Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa setakat ini masih belum meluluskan sebarang permohonan baharu diberikan untuk kegiatan balak di Kedah.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/721771/pembalakan-diteruskan-kalau-tak-kedah-kena-bayar-puluhan-bilion-ringgit