Penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kini menikmati kenaikan gaji pertama mereka selepas pelarasan dilakukan mengikut skim tersebut.
Ramai di kalangan mereka yang meluahkan rasa syukur dan gembira, selain mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas pelaksanaan pelarasan gaji setelah 12 tahun tanpa semakan.
Seorang penjawat awam, Desmi Hartati Anuar, menganggap pelarasan gaji tersebut sebagai rezeki untuk anak pertamanya setelah hampir 15 tahun menunggu untuk bergelar ibu.
“Anak saya lahir pada 19 Ogos 2024, dan hari ini genap usia empat bulan.
Suami saya juga seorang penjawat awam, dan kami berharap dapat menambah simpanan untuk pendidikan anak kami,”
katanya ketika dihubungi Bernama.
Guru berusia 42 tahun ini juga berharap kenaikan gaji tersebut dapat meringankan beban kewangan keluarganya, terutama selepas pembelian rumah baru-baru ini.
Bagi Netty Muhalizza Mohd Fadzil, pelarasan gaji ini dianggap sangat tepat pada masanya, terutamanya bagi penjawat awam yang mempunyai anak yang sedang bersekolah.
“Minggu depan cuti sekolah bermula, jadi ramai ibu bapa perlu membuat persediaan untuk sesi persekolahan baru Januari nanti. Selain itu, ada juga yang sedang merancang persiapan untuk hari raya,” ujar kakitangan sebuah universiti awam itu.
Dalam pada itu, Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Farmasi Kerajaan Semenanjung Malaysia, melalui hantaran di Facebook, menyatakan harapan agar pelarasan gaji ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan penjawat awam serta memastikan kelangsungan hidup mereka dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
“Dengan kenaikan ini, kita diharap tidak meningkatkan gaya hidup, tetapi lebih kepada mengurangkan komitmen dan berbelanja secara berhemah. Lebihan gaji boleh digunakan untuk menggembirakan ahli keluarga,” menurut kenyataan kesatuan itu.
Penjawat awam turut meluahkan kegembiraan mereka dengan menerima gaji baharu ini menerusi media sosial.
“Selamat pagi gaji SSPA. Ada manis,” kata Hilary Brody di Facebook.
“Alhamdulillah… terima kasih Kerajaan MADANI. Selain penjawat awam naik gaji, orang pencen pun dapat kenaikan pencen juga,” kata Zairi Suboh juga di Facebook.
Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim ini akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa, iaitu lapan peratus untuk Fasa 1 pada Disember 2024 dan tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.
Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), mereka akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus, dengan empat peratus pada Fasa 1 dan tiga peratus pada Fasa 2, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.
BACA: Wanita buka buku pink terkejut, bayi dalam kandungan tiada kepala!