Pelacuran bergerak tumpas, order online guna wechat

Pelacuran bergerak tumpas, order online guna wechat

Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket pelacuran warga asing yang menjalankan aktiviti perkhidmatan seks menggunakan aplikasi WeChat, Telegram dan Link dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Maluri, semalam.

Seramai 15 wanita terdiri daripada 11 warga Thailand, tiga Vietnam dan seorang warga Indonesia berusia antara 19 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan 7 malam.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata maklumat daripada risikan dijalankan mendapati sindiķet berkenaan menjalankan aktiviti dari satu hotel ke hotel lain setiap dua minggu bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Aktiviti pelacuran ini dijalankan di tingkat tiga hotel tersebut dan bilik didaftar menggunakan nama warga tempatan disyaki bertindak sebagai penjaga bagi wanita warga asing tersebut.

“Mereka menjalankan aktiviti pelacuran di premis tersebut tanpa rasa takut terhadap pihak penguatkuasaan dan undang-undang serta tidak menghiraukan wabak Covid-19 yang sedang melanda,” katanya dalam kenyataan.

Khairul Dzaimee berkata, hanya pelanggan dikenali saja dibenarkan masuk untuk melanggan khidmat pelacuran tersebut bagi tujuan mengelakkan aktiviti dihidu penguatkuasa dan kegiatan juga dijalankan atas pengetahuan pengurusan hotel.

Katanya, perkhidmatan seks ditawarkan dengan harga bermula RM230 hingga RM500 bagi tempoh masa selama 45 minit di mana separuh bayaran akan diambil majikan dan selebihnya adalah “tip” untuk wanita warga asing bagi setiap pelanggan.

“Pelanggan terlebih dahulu akan memilih wanita warga asing yang ingin dilanggan melalui aplikasi WeChat, Telegram atau Link, tentang aktiviti ini yang diwujudkan khas oleh sindiket.

“Bayaran perlu dilakukan kepada penjaga atau penyelia terlebih dahulu di lobi hotel sebelum diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik hotel pihaknya turut merampas beberapa barangan digunakan untuk aktiviti tidak bermoral itu seperti kondom, pelincir, kad akses bilik, kamera litar tertutup hotel, telefon bimbit dan beberapa barangan lain sebagai barang kes bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, tujuh lelaki tempatan yang bekerja sebagai penyelia atau lebih dikenali sebagai “captain” dan pengurus operasi di hotel tersebut turut ditahan manakala tiga pelanggan dan pekerja hotel yang berada di lokasi diberikan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/23/15-pelacur-ditahan-sindiket-nomad-hotel-ke-hotel-tumpas/