Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi PETRONAS yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh yang dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), juga berkuat kuasa 1 Ogos ini.
“Mohd Bakke adalah ahli korporat berpengalaman luas dan berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan serta kewangan.
“Diharapkan kemahiran dan pengalaman beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa PETRONAS melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi Kumpulan syarikat KLCC.
Katanya, pengalaman Ahmad Nizam di PETRONAS dan pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju serta pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepemimpinan dan sumbangan Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi PETRONAS.
“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di PETRONAS dalam pelbagai jawatan, beliau berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuk ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19.
“PETRONAS masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan menjadi syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya.
Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan sedang meneruskan program mentransformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya terus kukuh dan bersedia menghadpai fasa pemulihan pasca COVID-19 dalam norma baharu dengan perubahan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/838700/mohd-bakke-pengerusi-petronas-baharu
BACA JUGA : Gempar !!! Parlimen masih belum dapat notis kabinet untuk panggil bersidang