Peguam ini dedah kisah penuh wanita licik bersuami dua, segalanya terdedah gara-gara bapa sendiri semak di pejabat agama Thai
2 hari lalu, Tuan Shazril Kahairy Haji Mustafa, seorang peguam syariah telah mendedahkan kisah seorang wanita mempunyai 2 orang suami dalam waktu yang sama.
Menerusi temubual khas dengan pihak Mingguan Wanita, beliau kongsikan secara terperinci apa yang sebenarnya terjadi sepanjang mengendalikan masalah berkenaan.
Siang pergi rumah suami pertama…Malam pergi rumah suami yang ke-2
Mengimbau semula isu yang berlaku pada 10 tahun lepas ini, si isteri dan suami pertama nikah di Thailand dipercayai kerana hubungan mereka tidak mendapat restu keluarga.
Selama 2 tahun melayari perkahwinan, suami pertama langsung tidak tahu tentang kewujudan suami kedua. Lakonan si isteri terus dijalankan tanpa diketahui sesiapa.
Ada surat akuan berupa suci hati…Sukarela kahwin tanpa paksaan
Atas rasa sayang, suami pertama telah membawa sijil nikah Thailand ke pejabat agama untuk didaftarkan secara sah.
Di sinilah ‘tembelang’ si isteri terbongkar kerana didapati mempunyai 2 orang suami. Namun awalnya, wanita terbabit berkeras menafikan perbuatannya.
Untuk mendapatkan kepastian lanjut, Tuan Shazril dan bapa wanita itu pergi sendiri ke Pejabat Majlis Agama Islam Songkla. Ternyata memang wujud data berupa surat akuan bertulis di mana si bapa mengesahkan ia memang tulisan tangan milik si anak.
Nasib baik tiada anak…Kalau ada anak, kena sabitkan anak siapa…Suami pertama atau kedua?
Mengenai perkahwinan kedua, katanya ia dilangsungkan secara meriah apalagi si ayah adalah berstatus orang berada.
Tidak mampu mengelak lagi, wanita itu akhirnya mengakui kesalahannya. Lebih mengejutkan, keluarga suami pertama mendesak agar perkara itu dirahsiakan saja.
Isu ini selesai bila mana wanita itu akur dengan pilihan si ayah yang mahukan menantu kedua. Mujurlah mereka bertiga belum mempunyai anak. Jika tidak, masalah lebih berat akan timbul misalnya penentuan nasab serta kebarangkalian melakukan ujian DNA untuk menentukan bapa kandung sebenar.