Pegawai positif Covid-19, Masjid kariah Bandar Baru Senawang ditutup seminggu

Masjid Kariah Bandar Baru Senawang (BBS) di Seremban, Negeri Sembilan, diarahkan tutup tujuh hari bermula semalam selepas seorang pegawainya positif Covid-19.

Pengerusi masjid itu, Shariman Azeze berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengeluarkan arahan itu atas nasihat Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dalam satu surat.

Katanya, penutupan itu bertujuan memberi masa untuk pengesanan kontak rapat dan masjid itu sudah disanitasi pagi semalam, selepas mendapat makluman ketika solat subuh.

Beliau berkata, hasil saringan ke atas 20 pegawai masjid, termasuk sukarelawan adalah negatif.

“Namun, terdapat beberapa lagi masih menunggu keputusan,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial semua jemaah di masjid itu yang menyertai solat Jumaat lalu diminta menjalani ujian Covid-19 selepas seorang jemaah disahkan positif Covid-19.

Shariman menasihatkan jemaah masjid tidak panik kerana keadaan masih terkawal dan individu yang mungkin menjadi kontak rapat menjalani ujian calitan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Tidak ada keperluan untuk semua jemaah yang hadir ke masjid ini membuat ujian calitan, kontak rapat saja kita nasihati buat.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/16/masjid-kariah-bandar-baru-senawang-ditutup-seminggu-selepas-pegawai-positif-covid-19/