Satu temu bual eksklusif yang dijalankan oleh wartawan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) mendedahkan pelan yang dirancang oleh peneroka haram Yahudi untuk menghuni Semenanjung Gaza terutamanya di kawasan tepi pantai.
Ketua organisasi peneroka radikal yang dikenali sebagai Nachala, Daniella Weiss berkata, dia mempunyai senarai 500 keluarga yang bersedia untuk berpindah ke Gaza pada bila-bila masa.
“Saya mempunyai beberapa rakan di Tel Aviv yang meminta supaya saya menyimpan sebahagian plot tanah di pantai Gaza untuk mereka.
Kawasan di situ amat cantik dan ia mempunyai pasir berwarna keemasan.
“Namun, saya memberitahu mereka bahawa kawasan tersebut sudah penuh ditempah,” katanya kepada BBC.
Selama berdekad-dekad, Weiss memainkan peranan penting dalam memulakan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki oleh Israel dan Baitulmuqaddis Timur. Kawasan ini merupakan tanah Palestin yang direbut oleh Israel semasa Perang Asia Barat pada tahun 1967.
Dia juga memperlihatkan peta Tebing Barat kepada wartawan BBC, di mana terdapat titik-titik berwarna merah jambu yang menandakan kawasan pendudukan Yahudi. Titik-titik ini tersebar di seluruh peta, meliputi kawasan yang didiami oleh penduduk Palestin.
Jumlah peneroka Yahudi di wilayah tersebut kini kira-kira 700,000 orang dan jumlah tersebut terus meningkat dengan cepat.
Kebanyakan masyarakat antarabangsa menganggap penempatan ini sebagai haram menurut undang-undang antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Orang Arab Gaza tidak akan kekal di Semenanjung Gaza. Siapa yang akan tinggal di situ? Yahudi,” kata Weiss.
“Dunia ini luas. Afrika (benua) besar, Kanada juga besar. Dunia akan menerima penduduk Gaza,” ujarnya lagi.
Pendedahan tersebut menguatkan lagi beberapa laporan sebelum ini mengenai matlamat perang Israel yang mahu melaksanakan penghapusan etnik ke atas penduduk Palestin di Gaza, dan bukannya perang ke atas Hamas semata-mata.
Perang yang tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dengan ada antaranya yang musnah akibat dibom askar Rejim Zionis.
Sebanyak 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, demikian menurut PBB, di tengah-tengah krisis kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan akibat sekatan Israel.