Pastikan vaksinasi capai 80% dahulu baru bincang nak masuk fasa endemik .Bekas menteri kesihatan mahu usaha pemberian suntikan vaksin digiatkan sebelum sebarang keputusan dibuat untuk beralih kepada fasa endemik Covid-19.
Bercakap kepada FMT, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan perlu memastikan kadar vaksinasi populasi mencapai 80 peratus menjelang akhir tahun ini.
“Sebarang rancangan serius untuk beralih kepada fasa endemik hanya wajar dilakukan selepas itu,” katanya.
Biarpun dalam fasa endemik, katanya, prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dikekalkan terutama dengan mengambil kira penularan varian Delta yang berbahaya.
Dr Dzulkefly Ahmad.
Merujuk penurunan terbaru kes di Lembah Klang, beliau berkata ia tidak boleh dianggap selesa hingga menyebabkan orang ramai kurang berwaspada.
Dia turut menyatakan beberapa negeri yang mempunyai jumlah kes membimbangkan dan kadar vaksinasi yang perlahan.
Sejak bulan lalu, angka kes harian di Lembah Klang menunjukkan penurunan yang ketara apabila Kuala Lumpur mencatatkan 740 kes manakala Selangor dengan 3,613 kes semalam.
Kuala Lumpur merekodkan 2,880 kes pada 28 Julai lalu dan Selangor pula dengan 8,549 kes pada Ogos.
Pada 16 Julai, kerajaan memperkenalkan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan semua penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima dos pertama menjelang 1 Ogos.
Walaupun kerajaan berjaya meningkatkan kadar vaksinasi di Lembah Klang, namun beberapa negeri mengalami kelewatan dalam program imunisasi ketika ia mengalami lonjakan kes, kemasukan ke hospital dan kluster baharu.
Kes membabitkan kalangan individu yang lengkap dua dos dan penerima dos pertama juga tinggi.
Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat 4,638 (23.9%) kes membabitkan individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 5,893 (30.4%) pula telah lengkap dua dos.
Dzulkefly berkata penularan jangkitan daripada mereka yang telah menerima vaksin menyebabkan orang ramai perlu terus mematuhi SOP, terutama dengan kehadiran varian Delta ketika ini.
Katanya, ia amat penting untuk mengumpul data terperinci yang menunjukkan komobiditi, usia, jantina dan taburan geografi kes terbabit dan jenis vaksin yang diberikan kepada mereka.
“Kita amat memerlukan pengumpulan data ini dan parameter bagi membolehkan penilaian semula boleh dilakukan terhadap strategi vaksinasi negara.
Dr Ganesh Ramachandran.
“Ini terutamanya dalam menentukan keperluan pemberian dos penggalak yang mensasarkan kumpulan yang harus dijadikan keutamaan dan vaksin apa perlu digunakan.”
Dr Ganesh Ramachandran, ketua Sekolah Perubatan Taylor’s University, berkata dia bimbang kemungkinan orang ramai tidak memahami bahawa varian Delta mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap vaksin sedia ada.
Katanya, kemungkinan berlaku lebih banyak penularan di kalangan remaja dan kanak-kanak memandangkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun tidak diberikan vaksin.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/04/tingkat-vaksinasi-dulu-sebelum-ke-fasa-endemik-putrajaya-diberitahu/