Pasar tani boleh buka, kami tak boleh – keluh peniaga pasar malam

Saya terima banyak panggilan dan aduan dari para peniaga pasar malam. Mereka mengeluh, pasar tani boleh diadakan, kedai makan boleh beroperasi sampai 10 malam, tapi pasar malam masih tidak dibenarkan.

Sepanjang 2020 sewaktu PKP 1.0 diikuti PKPB dan PKPP, ramai peniaga pasar malam sangat terkesan kerana tidak dapat berniaga. Pendapatan merudum. Peluang tidak banyak. Bantuan juga tidak mencukupi.

Tahun ini, dengan PKP 2.0 yang belum tentu tamat 4 Februari, mereka merasakan nasib para peniaga pasar malam mungkin malang sekali lagi.

Saya telah mengadakan sedikit perbincangan dengan beberapa persatuan, pengusaha dan peniaga pasar malam. Pada pandangan saya, pihak kerajaan boleh mengubah dasar tanpa melonggarkan SOP sedia ada.

Ada 4 cadangan yang saya rasa kerajaan boleh dan perlu pertimbangkan:

1) Dasar

Jika pasar pagi/tani dibenarkan, maka pasar malam juga patut dibenarkan.

Dalam isu ini, jika isunya adalah peniaga atau pengunjung yang terlalu ramai, SOP pasar malam sewaktu PKPB tahun lalu boleh digunakan. Kurangkan jumlah petak/tapak, hadkan laluan masuk.

Pengusaha pasar malam merasakan pasar malam dianaktiri “sebab pasar pagi boleh, peniaga tepi jalan pun boleh, tapi pasar malam masih tak boleh”.

2) Waktu operasi

Jika kerajaan berpandangan pasar malam akan mengakibatkan ramai orang berlegar di luar rumah hingga ke tengah malam, sebenarnya pengusaha pasar malam bersedia untuk ubah waktu operasi.

Sebagai contoh, jika biasanya pasar malam dari 5 petang ke 10 malam, ada pengusaha yang bersedia ubah pasar ke sebelah petang, contohnya dari jam 2 petang ke jam 7 malam.

Dari pasar malam, pengusaha bersedia jadi “pasar petang”.

Yang penting mereka ada peluang berniaga.

3) Bantuan

Saya melihat satu cara untuk membantu peniaga pasar malam yang memiliki lesen sah dan hilang pendapatan tambahan ialah dengan memasukkan peniaga pasar malam sebagai salah satu kategori di dalam Program Subsidi Upah 3.0.

Lesen peniaga pasar malam juga boleh diperbaharui secara otomatik, tanpa kos tambahan.

4) Teknologi

Jika kerajaan tidak bersedia membenarkan pasar malam beroperasi secara fizikal, setidak-tidaknya usahakan ‘pilot project’ e-pasar malam dengan bantuan apps seperti Foodpanda, Grab, Shopee dan sebagainya. Ini boleh dilakukan sama ada dengan mewujudkan konsep ‘central kitchen’ atau pertimbang semula idea e-bazar Ramadan tahun lalu dengan SOP yang ditambahbaik.

Beri insentif kepada peniaga dan pengusaha untuk cuba model perniagaan yang berbeza.

Saya risau nasib begitu ramai peniaga pasar malam akan lebih terjejas tanpa langkah proaktif kerajaan.

Kerajaan mesti usahakan sesuatu sebelum mereka benar-benar ‘gulung tikar’. –FB