Pas masih samar nak pilih siapa, kata Ahmad Maslan

Pas masih samar nak pilih siapa, kata Ahmad Maslan

Ahmad Maslan berkata, masih belum dapat dipastikan adakah PAS akan menyokong PPBM atau Umno sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU15, menurut beberapa kajian.

“Kenapa samar? Kerana hubungan dengan Umno lebih awal datangnya daripada hubungan PAS dengan PPBM. Jadi persahabatan kita itu…pada 2018-2019 lagi, ketika kita berlawan dengan PH. Ketika itu PPBM bersama dengan DAP dan PKR,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Umno 2020.

Menghadapi kemungkinan itu, setiausaha agung Umno itu meminta pimpinan negeri dan kawasan sentiasa merapati PAS, “mudah-mudahan pimpinan PAS akan terus bersama kita”.

Beliau juga menambah tiada tempoh masa diberikan kepada PAS untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Umno.

Di sebalik usaha PAS untuk menjadi penghubung antara PPBM dan Umno, Ahmad berkata, hubungan dengan PPBM dinoktahkan hari ini.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya mengumumkan Umno tidak akan mendukung Perikatan Nasional kerana PPBM berniat untuk menghapuskan dan menggantikan Umno.

“Kalau PAS nak jadi jambatan, saya kira ia tidak akan berlaku. Bagaimanapun, penting hubungan Umno dan PAS dipersetujui jurucakap (negeri),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad mempertahankan keputusan mengetengahkan ketua-ketua Umno negeri menjadi jurucakap negeri masing-masing pada PAU2020.

“Pengerusi perhubungan ini ketua kepada parti Umno di negeri-negeri. Mereka orang yang cukup berautoriti untuk menyatakan pandangan,” katanya.

Ditanya gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya semua ahli Umno melepaskan jawatan menteri atau timbalan dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, Ahmad menjawab: “Tunggu dan lihat”.

“Setakat tengah hari ini, belum ada lagi (usul itu),” katanya.

Mengenai reaksi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, kepada ucapan Zahid, Ahmad berkata, tiada reaksi negatif daripada beliau.

“Lebih-lebih lagi bila presiden nyatakan hubungan dengan Muafakat Nasional perlu diperkukuhkan,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/28/ppbm-atau-umno-pas-masih-samar-jika-berlaku-3-penjuru-kata-ahmad-maslan/