Pas menyatakan hasrat agar dapat memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Wakil PAS Sarawak, Abdul Halim Abdul Kadir meminta pucuk pimpinan parti itu membuat ketetapan segera sama ada akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
Memetik laporan FMT, beliau berkata, jentera parti itu di peringkat negeri juga bersedia untuk dikerahkan bagi memastikan hasrat melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) “sulung” dari PAS lahir di Sarawak.
Abdul Halim ketika ucapan dasar Presiden Muktamar Tahunan PAS ke-67 hari ini berkata, “Kami amat harapkan agar mendapat lampu hijau daripada pemimpin pusat adakah dibenar bertanding atau sebaliknya. Jika ditanya apa kami buat untuk bertanding, saya nyatakan di sini di DUN (Dewan Undangan Negeri) Beting Maro sudah ada 30 cawangan aktif yang bergerak sejak 2019 khusus untuk PRN akan datang.
“Bukan kami tak sabar tapi ini semangat baharu PAS Sarawak demi memastikan Adun pertama PAS di DUN Sarawak dalam PRN kelak.”
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.
Pembatalan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada PRN12 diadakan di Sarawak, setelah tempoh mandat kerajaan negeri itu tamat pada 6 Jun lalu.