Pas gagal memberi dan memastikan keadilan kepada kaum dan agama lain

Oleh MHDAILY

Kami menyambut baik keputusan Setiausaha Kebangsaan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), saudara S. Barathidasan untuk keluar secara rasmi daripada parti itu. Tindakan berani ini perlu dipuji dan sudah tentu ia bertitik tolak daripada kesedaran serta perhitungan prinsip dan moral perjuangan masyarakat bukan Islam, yang akhir-akhir ini sering dilayan sebagai minoriti mengancam dan warganegara kelas kedua dalam masyarakat Malaysia.

Tindakan tekad beliau jelas membuktikan bahawa PAS telah gagal mengotakan janji-janji manisnya terutamanya kepada ahli-ahli DHPP.

Ibarat sudah terang lagi bersuluh, PAS dan pemimpin peringkat pusat ternyata gagal menjaga kepentingan dan kebajikan, bahkan sekaligus gagal membuktikan penghormatan mereka terhadap masyarakat bukan Islam khususnya di Kedah dan amnya di seluruh negara.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Situasi menjadi semakin tegang sejak bermulanya isu kuil Hindu yang diroboh tanpa ada rundingan dengan kerajaan persekutuan. Belum sempat pun bahangnya reda, Menteri Besar Kedah pula, yang juga daripada parti Pas telah bertindak membatalkan cuti peristiwa sempena perayaan Hari Thaipusam baru-baru ini.

Pas yang sering mengangkat slogan ‘PAS for all’ ternyata gagal mengotakan kata-kata mereka sendiri secara praktikal.

Pas gagal memberi dan memastikan keadilan kepada kaum dan agama lain, sebaliknya galak berterusan memainkan sentimen prejudis kaum dan agama, sambil membayangkan seolah-olah wujud layanan pengkastaan dalam kedudukan warganegara Malaysia. Kepentingan kaum dan agama lain sudah tidak lagi diberi perhatian sebagai agenda parti tersebut.

 

Kami ingin menzahirkan solidariti kami atas kekecewaan saudara S.Barathidasan dan mengalu-alukan sekiranya beliau dan rakan-rakan beliau berhasrat untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), yang kekal konsistan untuk berani berprinsip dalam menyatakan sokongan dan pembelaan Amanah terhadap hak-hak masyarakat majmuk dan minoriti dalam Malaysia.

 

Amanah yang berpegang kepada prinsip Islam Rahmat Untuk Semua telah banyak meleraikan permasalahan yang berkaitan masyarakat bukan Islam, sekalipun mereka terus menjadi sasaran serangan propaganda jahat, fitnah dan adu domba kaum dan agama. Ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat semua kepimpinan Amanah yang jelas menjadikan ajaran sebenar Nabi Muhammad saw sebagai ikutan dan panduan mengurus keunikan ciptaan Tuhan yang penuh dengan kepelbagaian.

 

Tanahair kita – Malaysia ini perlu dibangunkan dengan semangat patriotik jujur dan tulus untuk negara, sambil ikhlas memelihara dan melebarkan semangat saling memahami, saling menghormati dan saling mengasihi di antara semua masyarakat berbilang yang menjadi keunikan dan kehebatan Malaysia.

 

Bak kata pepatah Inggeris, “Better late than never”, kami berdoa semoga lebih ramai akan sedar keunikan dan keistimewaan Parti Amanah Negara yang senantiasa komited dan ikhlas meletakkan nilai-nilai murni sejagat yang menjadi teras sebenar Islam sebagai asas perjuangan membina semula negara.

Jawatankuasa Pimpinan Dan Timbalan Pengerusi Biro Integrasi
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional

Sumber: