Pas dan Bersatu berebut kerusi Bukit Gantang, Umno yakin mampu sapu bersih.
UMNO Bahagian Bukit Gantang yakin dapat mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen dan semua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
PeIuang UMNO dilihat lebih cerah berikutan perebutan kerusi berkenaan di antara penyandangnya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas.
Setakat ini, Perikatan Nasional (PN) belum menetapkan sama ada Bersatu atau Pas yang akan bertanding di kerusi itu.
KAMARUDDIN Abu Bakar (dua dari kiri )menyampaikan hamper untuk bayi yang dilahirkan pada Hari Malaysia di Hospital Taiping hari ini. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Namun, sebelum ini, Idris berkata, Pas menolak Syed Abu Hussin sebagai calon PN di kerusi itu.
Selepas itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Pas akan meletakkan calon yang boleh mendapatkan kepercayaan masyarakat setempat di Bukit Gantang.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Kamaruddin Abu Bakar berkata, kemelut Bersatu dan Pas itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada UMNO.
Katanya, apatah lagi UMNO menang kerusi Parlimen dan tiga DUN kawasan Parlimen itu dalam PRU-14.
“Kita menang Parlimen dan tiga DUN di Bukit Gantang iaitu iaitu Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong dalam PRU-14.
“Kita yakin sekali lagi akan menang 4-0 kali ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper kepada kakitangan Wad Bersalin Hospital Taiping untuk diagihkan kepada bayi yang dilahirkan pada Hari Malaysia hari ini.
Menurut Mohd. Kamaruddin, UMNO bahagian itu telah membuat persiapan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU-15.
“Kerusi Parlimen Bukit Gantang kita menang dalam PRU-14, kita yakin ia akan kekal dimenangi UMNO,” katanya.
Dalam PRU-14, Syed Abu Hussin menang Parlimen Bukit Gantang atas tiket Barisan Nasional (BN), namun beliau kemudiannya menyertai Bersatu.
Idris menang PRU-13 pada tahun 2013 namun kalah kepada Syed Abu Hussin dalam PRU-14.
Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/09/umno-yakin-kekal-kemenangan-4-0-di-bukit-gantang/