Pas berperanan sebagai tukang sediakan ‘pakaian, kasut dan bola’ – Takiyuddin

Pas menyifatkan politik di Malaysia hari ini seperti permainan bola sepak dimana Pas berperanan sebagai tukang sediakan ‘pakaian, kasut dan bola.’

Setiausaha agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setiap orang perlu ada pecahan tugasan masing-masing untuk memastikan sesebuah pasukan itu menang.

Pas berperanan sebagai tukang sediakan 'pakaian, kasut dan bola' - Takiyuddin

Menurut laporan Malaysiagazette, Takiyuddin berkata walaupun Pas parti penting yang turut berada dalam kelompok ‘pasukan’, tetapi Pas tidak berada dalam kelompok pengurusan di atas.

“Dalam sesebuah pasukan itu, ada pengurus, ketua jurulatih dan juga pemain, tetapi ada satu lagi jawatan penting yang perlu ada bagi melengkapkan permainan iaitu sebagai ‘kick manager’.

“Ini jawatan penting yang menyediakan pakaian, kasut dan bola sebelum pertandingan bermula, betapa pentingnya jawatan ini dan itulah tugas Pas,” katanya ketika berucap di Muktamar Pas Kali Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau menyambung, apa gunanya menjadi pemain yang bertaraf bintang tetapi tidak mengikut segala keputusan pihak pengurusan.

“Itulah kelemahan paling ketara yang dapat dilihat. Bintang-bintang ini walaupun hebat tetapi apabila tidak mendengar arahan, akhirnya satu pasukan kalah.

“Adalah lebih baik menjadi pasukan underdog yang tiada pemain handalan tetapi setia kepada arahan pengurus dan jurulatih.

“Peranan pemain adalah berdisiplin, tahu strategi yang ditentukan oleh pengurus dan jurulatih, tidak mustahil boleh kalahkan pasukan yang hebat,” katanya.

Takiyuddin juga mendakwa keberadaan Pas dalam kerajaan hari ini yang telah memberi impak yang besar kepada agama dan bangsa.

“Sepanjang Pas berada dalam kerajaan, kita telah berjaya mewujudkan kerajaan Melayu-Islam.

“Banyak isu yang berkaitan orang Melayu dan Islam kita pertahankan dan diharap ia akan dapat diteruskan.

“Dalam tempoh 20 bulan juga kita dapat merasai keharmonian dengan menyantuni negeri-negeri yang terpinggir selama ini.

“Banyak perubahan dan sudah tentu pembangunan berskala besar,” ujarnya.

Menutup ucapan, Takiyuddin berkata, “Justeru kemenangan yang diuruskan sekarang perlu dipertahankan. Tuntutan pertahankan sudah digariskan dalam parti.

“Antaranya adalah menerajui negara dengan budaya politik matang, menyelesai masalah rakyat dengan solusi islamik negara pada hari ini dan sepakat untuk terus taat dan mengikuti sertiap keputusan yang telah ditetapkan oleh saf kepimpinan tertinggi.”

BACA JUGA : Pelajar sekolah cerita saat cemas dirogol 17 lelaki selama 4 hari
Panas !!! Laporan dedah 2,400 petugas kesihatan KKM tidak divaksin

CATEGORIES