Parti abang Ismail Sabri dilancarkan, mula umum agenda untuk rakyat

Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) yang baharu dilancarkan hari ini menabur pelbagai janji dalam usaha menawan penyokong terutama kepada golongan B40 dan M40 di negara ini.

Presiden Penajanya, Kamarazaman Yaakob berkata, parti itu akan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan golongan itu serta anak muda melibatkan beberapa perkara asas yang diperlukan.

Jelas beliau, antaranya adalah pelajaran percuma, rawatan kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan dan penumpuan terhadap para petani menjadi agenda penting bagi parti itu.

Parti abang Ismail Sabri dilancarkan, mula umum agenda untuk rakyat

Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob menjerit melaungkan slogan bersama ahlinya kepada media pada pelancaran Parti Kuasa Rakyat di The Diplomat, Kuala Lumpur. 

“Kuasa Rakyat akan memperjuangkan dasar pelajaran percuma. Hapuskan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), hapuskan semua bentuk hutang-hutang PTPTN dan digantikan dengan cara biasiswa , dermasiswa atau sewaktu dengannya.

“Penghapusan hutang ini hanya terpakai kepada anakanak golongan B40 dan M40. Begitu juga dalam soal pemberian segala bentuk biasiswa, hanyalah kepada anak-anak B40 dan M40 .

“Sekiranya Tun Abdul Razak (Perdana Menteri kedua) boleh menjayakannya dengan penuh berkesan, tiada sebab kerajaan yang ada tidak menemui jalan dalam melaksanakannya.

“Lebih-lebiih lagi, kepimpinan hari ini sentiasa mendengar denyut nadi penghidupan rakyat,” katanya pada majlis pelancaran parti itu di sini hari ini.

Kamarazaman yang turut dikenali sebagai Bung Zaman menambah, Kuasa Rakyat akan menjadikan kesihatan percuma sebagai salah satu agenda perjuangan dalam menjaga penghidupan rakyat.

Jelas beliau, dasar itu akan disasarkan kepada golongan B40 dan M40 yang menjadi tunjang masyarakat.

“Jurang penghidupan antara rakyat miskin dengan yang mewah semakin ketara dan jelas di mana setiap tahun ianya semakin melebar.

“Mengapa dibenarkan hanya segelintir dari rakyat menikmati kekayaan negara, sedangkan majoriti rakyat tidak merasainya atau sekadar memperoleh hanya untuk menyambung penghidupan .

“Kerana ketidakadilan inilah, maka terdapat ramai rakyat yang tidak mempunyai rumah yang sempurna.

“Bersandarkan realiti ini, Kuasa Rakyat memperjuangkan rumah percuma kepada rakyat B40 yang tidak mempunyai rumah sempurna,” katanya.

Kamarazaman menambah, bagi golongan anak muda, Kuasa Rakyat merupakan sebuah kanvas besar untuk mereka berekayasa pada parti itu.

Tegas beliau, anak-anak muda boleh dari sekarang mencorak warna hala tuju parti itu.

“Kami generasi lama yang sarat dengan perjuangan marhaenisme ini dengan dada yang terbuka dan fikiran yang menerima mahu menawarkan perjuangan kami kepada anda sekalian.

“Kami hanyalah setakat menyempurnakan tapak dan laluan ini untuk diteruskan oleh anak-anak progresif dari anak semua bangsa

“Kami menyedari ramai di antara anda dieksploitasi oleh orang tengah. Antaranya, anak-anak muda gigih yang terlibat di dalam kerjaya penghantaran makanan . Siang malam anda berlumba mengejar waktu untuk mendapatkan sesuap nasi . Malangnya, anda dieksploitasi.

“Kuasa Rakyat menyedari hakikat ini dan kami punyai cadangan kepada kerajaan untuk membebaskan anda sekalian,” katanya.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/10/10/parti-kuasa-rakyat-tabur-janji-pada-hari-pelancarannya/

BACA JUGA : Lelaki 65 tahun ditahan kerana memandu mabuk

COMMENTS

Wordpress (0)