Parlimen akan diadakan pada masa yang sesuai, kata Azmin

Oleh MHDAILY

Kerajaan Pusat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya sidang Parlimen diadakan dalam masa yang sesuai bagi menangani isu Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Malah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan juga mengambil pelbagai tindakan dan langkah sejak lebih setahun lalu bagi menangani kedua-dua isu tersebut.

Jelas beliau, dalam konteks Parlimen misalnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah menyatakan persidangan akan dilakukan pada masa sesuai supaya proses demokrasi di negara ini dapat disuburkan.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Beliau (Perdana Menteri) tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang, kita akan bersidang.

“Bagaimanapun, selaku ketua majlis, beliau bertindak mengikut peruntukan undang-undang, Perlembagaan, ‘standing order’ di dalam Parlimen serta mengikut masa sesuai untuk bersidang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam- Swasta (PIKAS) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Bukit Jawi Golf Resort, di sini hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Berhubung titah supaya proses vaksinasi kepada rakyat dipercepat, Mohamed Azmin berkata, usaha itu juga sedang digerakkan menerusi inisiatif PIKAS dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berjalan ketika ini.

Jelas beliau, usaha itu adalah langkah dalam memastikan matlamat kelompok 80 peratus imuniti (herd immunity) dalam masyarakat dicapai seterusnya dapat memulihkan ekonomi negara.

Tambahnya, kerajaan dalam mencapai matlamat itu juga tidak pernah mengambil tindakan secara uniliteral (sepihak), sebaliknya turut melibatkan semua kerajaan negeri menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini penting untuk kerajaan mendengar pandangan dari pelbagai pihak sebelum membuat keputusan,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha yang diambil kerajaan itu menunjukkan kejayaan antaranya kes positif Covid-19 dicatatkan sekitar 4,900 kes pada 14 Jun lalu berbanding jangkaan 13,000 kes oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya langkah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan.

“Selain pelaksanaan PKP, kerajaan juga berusaha dengan pemberian peruntukan berbilion ringgit kepada KKM supaya sistem kesihatan tidak lumpuh.

“Selain itu, kerajaan juga mengambil pendapat daripada pakar pelbagai bidang antaranya pakar keselamatan, ekonomi dan kesihatan.

“Semua ini diambil untuk kepentingan negara dengan bersandarkan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/nasional/2021/06/sidang-parlimen-diadakan-pada-masa-yang-sesuai/