Panas !!! PEMULIH : Kerajaan hanya belanja 7 sen bagi setiap RM 1 yang diumum

Panas !!! PEMULIH : Kerajaan hanya belanja 7 sen bagi setiap RM 1 yang diumum

PEMULIH : Kerajaan hanya belanja 7 sen bagi setiap RM 1 yang diumum.Pentadbiran Muhyiddin Yassin sekali lagi telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi PEMULIH setelah negara kembali dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk kali yang ketiga susulan peningkatan jangkitan Covid-19 sehingga 9,000 kes di seluruh negara.

Meskipun sudah lebih sebulan PKP penuh dijalankan, namun masih tiada sebarang perkembangan positif hasil pelaksanaan PKP ini. Orang ramai terus mempertikaikan kewajaran kilang-kilang besar yang menjadi lubuk kes-kes baru dibenarkan beroperasi sedangkan peniaga-peniaga kecil tidak dibenarkan menjalankan perniagaan.

PEMULIH

Bagi Menteri Kewangan dan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, sektor-sektor elektronik dan elektrik dibenarkan beroperasi kerana industri ini juga terlibat di dalam rantaian yang mengeluarkan barangan-barangan keperluan seperti ventilator dan sebagainya.

Hakikatnya, justifikasi yang lebih masuk akal untuk membenarkan kilang-kilang ini beroperasi adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal positif pada tahun meskipun peniaga-peniaga kecil dan rakyat terpaksa dikorbankan demi memenuhi keperluan kapitalis-kapitalis di Malaysia.

Sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar kepada eksport Malaysia. Pada Mei 2021, eksport sektor pembuatan telah meningkat 45% kepada RM78 bilion. Aktiviti rancak eksport negara ini didorong oleh pemulihan ekonomi yang kuat di Amerika Syarikat, Eropah dan China.

Namun demikian, bagi rakyat marhaen. Sinar di penghujung terowong masih belum kelihatan. Bahkan bantuan i-Sinar pun sudah masuk ke penghujungnya dan bakal digantikan dengan skim i-Citra.

Pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri beberapa hari lalu sudah semestinya meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh rakyat. Persoalan yang lebih penting, adakah PEMULIH mampu memulihkan ekonomi Malaysia? Dan adakah pakej PEMULIH mencukupi buat golongan rentan ini?
Kerajaan Hanya Membelanjakan RM0.07 Bagi Setiap RM1.00 Yang Diumumkan di Dalam Pakej PEMULIH
Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion. Hakikatnya, sebahagian besar sumber kewangan pakej ini tidaklah datang daripada kantung kerajaan. Skim i-Citra yang ditawarkan oleh KWSP kepada ahlinya melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM30 bilion, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding suntikan fiskal kerajaan berjumlah RM10 bilion.

Sebahagian besar lagi pakej rangsangan ini datangnya daripada anggaran moratorium ansuran pinjaman bank oleh rakyat. Yang sebenarnya tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan kerana ansuran tetap perlu dibayar kelak.

Sejak Februari tahun lalu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion yang bersamaan dengan 37% saiz ekonomi negara. Jika angka gergasi ini merupakan sebuah bantuan tunai, ini bermaksud setiap isi rumah di Malaysia bakal menerima RM72,600.

Tetapi di sebalik angka-angka besar ini, kerajaan sebenarnya hanya mengeluarkan RM83 bilion untuk dibelanjakan kepada rakyat.

Dalam kata lain, bagi setiap RM100 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, hanya RM16 yang benar-benar keluar dari poket kerajaan. Baki selebihnya melibatkan pengangguhan pembayaran ansuran bank dan pengeluaran wang daripada simpanan KWSP.

Jumlah Pengeluaran Simpanan KWSP Lebih Besar Daripada Suntikan Fiskal Kerajaan
Rakyat Bantu Rakyat

Apa yang lebih mengejutkan, data yang dikeluarkan oleh KWSP menunjukkan bahawa rakyat merupakan pemberi bantuan utama dalam menghadapi krisis ini. Pengeluaran simpanan persaraan daripada KWSP melalui skim i-Lestari dan i-Sinar misalnya melibatkan transaksi sebanyak RM80 bilion.

Jika dicampur dengan pengeluaran yang bakal dilaksanakan melalui skim i-Citra, rakyat akan mengeluarkan RM110 bilion wang persaraan mereka bagi melalui hari-hari yang sukar ini. Jumlah RM110 bilion pengeluaran wang KWSP ini jauh lebih besar daripada bantuan fiskal kerajaan yang hanya bernilai RM83 bilion.

Bantuan Tunai Membantu, Namun Tidak Selesaikan Masalah

Tiga bantuan utama yang melibatkan implikasi kewangan daripada pihak kerajaan adalah Bantuan Khas Covid-19, Program Subsidi Upah 4.0 dan juga Geran Khas Prihatin 4.0. Ketiga-tiga bantuan ini meliputi hampir keseluruhan suntikan fiskal kerajaan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.4 bilion.

Langkah ini memanfaatkan pelbagai pihak. Bantuan Khas Covid-19 umpamanya memberikan sedikit bantuan pendapatan kepada isirumah yang terkesan meskipun pembayaran akan dibuat pada Ogos dan Disember.

Program Subsidi Upah pula memberi ruang kepada majikan untuk terus mengekalkan pekerja mereka meskipun bilangan penerima subsidi upah berkurang daripada 2.7 juta orang kepada 2.5 juta orang.

Manakala Geran Khas Prihatin pula memanfaatkan golongan yang bekerja sendiri seperti Mak Cik Kiah.

Walaupun demikian, bantuan-bantuan ini hanya bersifat sementara. Ia umpama membalut luka yang ada di kaki sambil menelan paracetamol. Masalah utama, jangkitan yang ada pada luka tersebut masih tidak dirawat. Antibiotik tidak diberikan.

Bagi Setiap RM1.00 Yang Diumumkan di Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi, Kerajaan Hanya Membelanjakan RM0.16
Isu utama yang dihadapi ketika ini adalah jangkitan kes Covid-19 yang terus menular di negara kita. Perkara ini masih tidak akan dapat diatasi dengan pengenalan pakej PEMULIH. Pelan Pemulihan Negara pula lebih memfokuskan tentang apa yang hendak dicapai berbanding bagaimana hendak dicapai.

Setelah lebih sebulan kita melaksanakan PKP3.0 ( kini dipanggil Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 ), tiada sebarang langkah drastik yang dilakukan kerajaan dalam menangani isu penularan jangkitan ini. Sektor tempat kerja yang menjadi lokasi utama punca jangkitan masih dibenarkan beroperasi. Manakala jumlah saringan pula menurun dari 100,000 saringan kepada lebih kurang 70,000 saringan sehari.

Proses vaksinasi dilihat sebagai satu-satunya laluan untuk Malaysia keluar dari kemelut ini. Tetapi, dunia berubah dengan pantas. Kini, kita diberi amaran pula mengenai penularan varian Delta yang dikatakan lebih ganas berbanding varian-varian yang lain.

Menunggu impak vaksinasi memberi kesan terhadap jumlah jangkitan mungkin memakan masa yang lama sekaligus memberikan kos yang tinggi buat kegiatan ekonomi di Malaysia.

Tiada Jalan Keluar

Melihat keadaan semasa, hampir mustahil untuk melihat sebarang keberkesanan daripada polisi kerajaan. Jangkaan dan unjuran yang tertulis di dalam Pelan Pemulihan Negara sudahpun tersasar dari awal lagi. Jangkitan baru terus melebihi 4,000 kes sehari, manakala penggunaan katil ICU berada di paras kritikal melebihi 900 orang setiap hari.

Proses vaksinasi pula mungkin perlu mengambil tempoh beberapa hari lagi untuk memenuhi sasaran 10% populasi yang telah divaksinkan secara penuh.

Kegusaran ini juga boleh dilihat di negara jiran kita, Singapura dimana mereka telah merangka pelan pemulihan untuk hidup bersama dengan virus ini. Syarikat farmaseutikal, Pfizer dan Moderna juga telah mengubah model perniagaan dengan menjangkakan krisis ini akan menjadi endemik ( berlarutan ) tambahan lagi dengan penularan varian delta.

Rakyat Malaysia juga terus pesimis dengan situasi semasa. Bancian atas talian yang dibuat Ekonomi Rakyat juga menunjukkan hanya 7.5% daripada responden yang menjangkakan ekonomi akan bertambah baik di dalam tempoh enam bulan akan datang. Manakala sebahagian 62.6% lagi responden berpendapat situasi ekonomi akan bertambah buruk.

Ini merupakan petanda buruk buat masa depan ekonomi negara. Ia akan menjadi self-fullfiling prophecy kerana apabila rakyat merasakan prospek kekal kabur, mereka akan berhati-hati untuk berbelanja sekaligus membawa kepada kelembapan ekonomi yang berpanjangan.

Penutupan ribuan perusahaan juga akan memberi kesan kepada proses pemulihan ekonomi nanti. Apabila, Covid-19 kembali reda pada kemudian hari, ia akan mengambil masa yang begitu lama untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi kerana perusahaan terpaksa bermula dari kosong untuk didirikan sebelum mampu menggajikan pekerja pada kadar yang optimum.

Di dalam tempoh beberapa hari yang akan datang, tiada apa yang boleh dilakukan oleh rakyat mahupun kerajaan. Meminjam semangat Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh, mungkin perkara yang terbaik yang boleh dilakukan rakyat ketika ini adalah dengan berdoa.

Berita Penuh :https://ekonomirakyat.com.my/mampukah-pemulih-pulihkan-ekonomi-malaysia/

Jika Anda Terlepas: Pencetus idea ‘bendera putih’ anggap kempen milik rakyat