Beberapa orang rakan sering mengadu sakit kepala dan tertekan kerana dihujani pelbagai persoalan tentang permasalahan negara mutakhir ini. Ada yang sampai sampai tak boleh tidur malam dan hilang selera makan.
Sebahagian mereka adalah penyokong PAS, dan sebahagian lagi adalah penyokong hasrat murni agenda perpaduan ummah.
PUNCA MASALAH
Puncanya, grup-grup whatsapp dan media sosial mereka dipenuhi dengan perkongsian pelbagai kecaman, desakan, tuntutan dan ketidakpuasan hati yang berterusan terhadap Kerajaan PN. Terutamanya daripada rakan-rakan UMNO, PAN, PKR, PH dan ada juga grup akti vaksin.
Mereka pula merasa bertanggungjawab untuk menjawab setiap masalah yang dibangkitkan itu, tetapi kekurangan maklumat dan kemampuan berhujah.
Ini memang tidak baik untuk kesihatan dan boleh menjadi sebab mencetuskan tekanan atau stress yang melampau. Tambahan lagi jika kita sudah semakin berusia.
MENGENAL PASTI MASALAH YANG CUBA DISELESAIKAN OLEH KITA
Antara masalah negara yang kita cuba selesaikan melalui grup-grup whatsapp ialah ketidakstabilan politik, masalah Covid-19, masalah penguncupan ekonomi, masalah tuntutan-tuntutan yang banyak terhadap kerajaan, masalah-masalah berkaitan PKP, SOP dan banyak lagi.
Memanglah terlalu besar beban yang kita cuba pikul itu. Walhal masalah-masalah besar tersebut bukanlah di dalam bidang kuasa kita secara langsung.
MEMBENTUK KAWALAN MINDA TERHADAP STRESS JENIS INI
Untuk mengelakkan minda kita stress memikirkan masalah-masalah tadi secara berterusan tanpa henti, pertama sekali kita perlu ‘suntik’ minda kita dengan ‘vaksin minda’. Vaksin minda ini mengandungi idea-idea asas yang perlu kita akui di dalam diri sebelum terjebak di dalam polemik sebarang penyelesaian masalah besar yang melanda kita.
Suntik vaksin minda ini dahulu sebelum kita cuba menyelesaikan masalah-masalah negara melalui grup whatsapp.
1. Selagi kita masih bernyawa, kita pasti akan berhadapan dengan masalah. Bahkan kekasih-kekasih Allah seperti Nabi Yaakob as menghadapi masalah dengan karenah anak-anak yang nakal, Nabi Nuh as dan Nabi Lut as berhadapan dengan karenah isteri masing-masing, selain daripada berdepan dengan masalah kaum mereka. Bahkan Nabi Muhammad SAW berdepan dengan masalah tak kunjung padam sejak diangkat menjadi Rasul.
2. Mengukur skala masalah yang akan kita hadapi, setakat mana besarnya. Jika besar, kita kena bersedia untuk lebih banyak langkah yang lebih kompleks. Jika kecil, kita tak perlu besar-besarkan ia lebih daripada sepatutnya.
3. Mengukur kemampuan kita menyelesaikan masalah tersebut. Ada masalah yang kita boleh selesaikan sendiri. Ada yang perlukan bantuan keluarga atau kawan-kawan. Ada yang perlukan bantuan bos. Ada yang perlukan bantuan kerajaan dan agensi agensinya.
4. Masalah peribadi dan keluarga kita, biasanya boleh diselesaikan sendiri. Dan kita bertanggungjawab sepenuhnya dalam mencari penyelesaiannya, tanpa mengharapkan bantuan pihak lain.
5. Masalah di pejabat, perlukan penglibatan beberapa pihak lain. Masalah kampung, perlukan penglibatan ketua kampung, Imam dan orang-orang kampung. Masalah negara perlukan penglibatan kerajaan dan pelbagai institusi. Dalam semua masalah ini, menyelesaikan masalah bukan lagi di dalam kemampuan kita sepenuhnya.
Dalam keadaan ini, kita juga mungkin menjadi sebahagian daripada daripada masalah itu sendiri. Dengan itu, kita hanya boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah-masalah tersebut.
6. Bukan semua masalah kita boleh selesaikan. Jadi kita utamakan penyelesaian masalah yang paling menyentuh diri dan keluarga kita dahulu. Kemudian baru kita berusaha menyumbang menyelesaikan masalah yang melibatkan lebih banyak pihak SEKADAR KEMAMPUAN kita.
7. Ada masalah yang memang di luar kemampuan kita secara peribadi untuk menyelesaikannya, dan sudah ada pihak tertentu yang dipertanggungjawabkan secara langsung untuk menyelesaikannya.
Jenis masalah sebegini, kita tak jadikan ia sebagai keutamaan. Kita sekadar mengambil tahu, dan cuba berikan kerjasama kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Suntikan minda ini akan menjadikan minda kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan sebarang masalah secara praktikal, dan mengelakkan kita terbelenggu dalam penyelesaian artifisial yang tidak berpijak di bumi nyata.
SEKARANG BERDEPANLAH DENGAN MASALAH YANG KITA CUBA SELESAIKAN
Masalah yang kita cuba selesaikan dalam grup-grup whatsapp kita kebanyakannya dalam kategori nombor 7 di atas.
Iaitu masalah ketidakstabilan politik, masalah Covid-19, masalah penguncupan ekonomi negara, masalah tuntutan-tuntutan yang banyak terhadap kerajaan, masalah-masalah berkaitan PKP, SOP dan banyak lagi.
Sepatutnya kita tidak terlalu menekan diri kita untuk menyelesaikan masalah ini tetapi cukup sekadar mengambil tahu, dan cuba berikan kerjasama kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut.
SEDIKIT FAKTA ASAS BAGI MASALAH INI
1. Ketidakstabilan politik semasa memang tidak boleh dielakkan kerana jumlah penyokong kerajaan dan pembangkang di Parlimen hampir sama banyak.
2. Jalan penyelesaian masalah ini telah disepakati oleh semua pemimpin Kerajaan dan pembangkang, iaitu dengan mengadakan Pilihanraya Umum yang baru.
3. Pilihanraya Umum tidak dapat dilangsungkan dalam jangka masa segera kerana Pandemik Covid-19.
4. Walaupun Kerajaan Tan Seri Muhyiddin kurang stabil di Parlimen, tetapi ia terbukti lebih boleh diharap dalam menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat berbanding Kerajaan PH yang berusia 22 bulan sebelum ini.
5. Pandemik Covid-19 adalah masalah yang melanda dunia, dan ia telah menyebabkan pelbagai ketidak-tentuan dan ketidak-selesaan kepada kita dengan PKP dan SOP adalah langkah kawalan yang terpaksa dibuat untuk mengekang penularan.
6. Jika kerajaan bertukar pada ketika ini, kerajaan baru pun terpaksa berhadapan dengan masalah ini juga.
7. Program Vaksinasi Nasional yang sedang berjalan dilihat sebagai usaha terbaik untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan mengembalikan semula kehidupan normal yang pernah kita nikmati sebelum ini.
8. Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19 yang sangat memberikan kesan kepada pendapatan dan kemampuan berbelanja Kerajaan, pihak pembangkang di Malaysia tetap mahu menyalahkan dan memburukkan setiap inisiatif Kerajaan dalam membantu rakyat dan usaha membembendung dan menamatkan pandemik atas pelbagai alasan.
9. Sebenarnya PH, Datuk Seri Anwar dan Tun Mahathir masih terus menuntut mandat rakyat dalam PRU ke-14 yang telah lalu dikembalikan semula kepada mereka. Walaupun pada hakikatnya, mereka sendirilah yang meruntuhkan mandat itu. Tambahan lagi, tidak banyak rekod yang boleh mereka banggakan sepanjang rekod 22 bulan pemerintahan mereka berada di Putrajaya.
10. Datuk Seri Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO pula sedang menghentam PN dan Muhyiddin setiap kali berpeluang, walaupun UMNO masih lagi di dalam PN. Masih ada pemimpin dalam UMNO mahu mengulangi nostalgia lama.
11. Apa pun usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin dan PN dalam masa terdekat ini tidak akan memberikan kebaikan kepada negara dan rakyat. Kerana Kerajaan baru atau MAGERAN hanya akan menyebabkan pilihan umum semakin lambat berlangsung dan parlimen semakin tidak berfungsi.
12. Yang kita perlu sekarang ini, sedikit lagi kesabaran untuk keluar daripada pandemik Covid-19 secepat mungkin, dan seterusnya mengadakan PRU secepat mungkin.
13. Mana-mana kerajaan baru yang bakal dipilih oleh rakyat mereka tetap terpaksa menyelesaikan masalah kelembapan ekonomi pasca pandemik Covid-19 yang sangat mencabar.
LATAR BELAKANG DI SEBALIK KECAMAN DAN TUNTUTAN MELAMPAU
Kecaman dan tuntutan melampau kepada Kerajaan PN di dalam grup-grup whatsapp kita hanyalah tindakan provokasi untuk kita ‘sakit kepala’ dan ‘merasa kecewa’ dengan Kerajaan PN. Tujuannya untuk mendesak minda kita supaya turut ‘merasa kecewa’ seperti kita pernah kecewa dengan Kerajaan PH.
Inilah yang dikenali sebagai propaganda politik semata-mata. Iaitu kecaman dan tuntutan yang ditularkan bukan untuk menyelesaikan masalah tetapi hanya sekadar mahu ‘menyuntik kebencian’ dan ‘melempiaskan dendam lama yang masih terbuku’.
Sebetulnya, Kerajaan PN telah berbuat sedaya upaya dan sehabis baik dalam menguruskan negara dengan kemampuan mereka yang serba terbatas, dan rancangan metekacsentiasa disabotaj di sana sini.
PENYELESAIAN PRAKTIKAL BAGI MASALAH KITA
Masalah kita ini boleh selesai dengan cara kita tidak terlalu mendedahkan diri kita dengan propaganda politik kecaman dan tuntutan melampau tersebut.
Mungkin kita boleh menganjurkan ahli grup membuat posting yang lebih positif. Mungkin kita boleh panjangkan inisiatif yang dibuat oleh pihak Kerajaan. Mungkin kita boleh kongsikan tulisan, idea atau media yang dapat memberikan inspirasi kepada ahli grup dalam menghadapi hari-hari yang mencabar ini.
Atau mungkin kita boleh tidak mengendahkan propaganda seperti itu. Atau mungkin kita boleh terus ‘delete’ propaganda seperti itu, tanpa mengekalkan ingatan mengenainya di dalam minda.
Hasilnya, minda kita mungkin akan lebih tenteram. Apa lagi jika disusuli dengan membanyakkan membaca al-Quran…
PENYELESAIAN EKSTREM
Jika kita masih rasa ‘sakit kepala’, mungkin kita boleh keluar daripada grup. Jika kita ‘admin’, mungkin kita boleh ‘remove’ ahli yang melampau dalam grup.
Kes yang lebih ekstrem mungkin perlukan penyelesaian yang lebih ekstrem juga.
SIAPAKAH PM YANG KITA MAHUKAN?
Secara logiknya, masalah yang dibangkitkan dalam grup-grup whatsapp kita hanya boleh diselesakani dengan pilihanraya umum. Ia tidak mampu diselesaikan oleh jawapan kita di dalam grup-grup tersebut.
Bahkan pihak yang membangkitkan masalah itu tidak suka jika masalah tersebut selesai. Kerana mereka akan kehilangan ‘peluru’ untuk menghentam Kerajaan.
Penyelesaian sebenar ada pada siapakah Perdana Menteri yang akan kita pilih dalam PRU ke-15 nanti.
Adakah kita masih tetap mahukan Tun Mahathir kembali menjadi PM, walaupun tanpa dokongan PH? Atau kita mahukan Dato’ Seri Najib sekali lagi menjadi PM, sekalipun terpalit dengan kes 1MDB?
Atau kita sudah mula memikirkan untuk memberi peluang kepada Dato’ Seri Anwar, atau Dato’ Seri Zahid Hamidi, atau Abang Muhammad Sabu sebagai Perdana Menteri baru kita?!
PENUTUP
Saya pula telah melihat banyak perkara baik berlaku dalam pentadbiran PN di bawah Tan Seri Muhyiddin Yasin. Saya akan terus menyokong beliau lagi untuk mengemudikan PN dalam PRU ke-15. Dan berharap beliau dan PN akan kembali mentadbir negara dengan sokongan yang lebih teguh di Parlimen.
Setakat itu sajalah kemampuan saya. Dan sebenarnya setakat itu jugalah kemampuan kebanyakan daripada anda, iaitu kemampuan membuang undi. Jika berfikir lebih-lebih sangat pun, tidak boleh menyelesaikan masalah juga.
Kecuali anda sendiri bercadang untuk bertanding dalam ke-15 dan turut menjadi calon Perdana Menteri…
Sumber: