Pemimpin PKR buka mulut isu Zahid ditawar jadi PM

Pemimpin PKR buka mulut isu Zahid ditawar jadi PM

Pemimpin PKR buka mulut isu Zahid ditawar jadi PM. Isu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri selepas UMNO mengetuai jajaran baharu hanyalah satu bentuk perang psikologi.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, adalah mustahil Presiden UMNO itu mampu memegang jawatan tertinggi dalam pemerintahan negara kerana parti itu tidak cukup majoriti berbanding blok terbesar Pakatan Harapan (PH) yang ada dalam Parlimen.

Beliau menegaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi Perdana Menteri dalam pembentukan jajaran baharu PH bersama UMNO kelak.

“Sekali pun Anwar mahu memberikan jawatan itu kepada UMNO, ia belum tentu dipersetujui rakan parti dalam gabungan PH terutama DAP dan PKR. Sekarang ini kita lihat siapa yang dapat majoriti, kalau Ahmad Zahid bersama PH, UMNO ada 38 kerusi sedangkan PH ada hampir 90 dan Anwar pula Pengerusi PH.

Dakwaan Nazri pemimpin pkr

“Jadi tidak mungkin Ahmad Zahid akan jadi Perdana Menteri kerana mengikut undang-undang, Yang di-Pertuan Agong akan melantik seseorang yang ada majoriti dalam Parlimen (untuk jawatan berkenaan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemimpin PKR itu berkata, berdasarkan pengamatan, keputusan Ahmad Zahid menarik diri dari Perikatan Nasional (PN) adalah berlandaskan perkiraan parti itu yang djangka mengecil dan hilang kedudukan dalam arena politik negara sekiranya terus berada dalam PN.

Ini kerana, katanya, dalam PN terdapat tiga parti Melayu dan masing-masing akan berebut kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau menjelaskan, sekiranya ketiga-tiga parti itu duduk berbincang untuk berbahagi kawasan Melayu yang hanya ada lebih kurang 90 kerusi, bermakna setiap parti memperoleh 30 kerusi.

“Itu pun kalau Muhyiddin memberi kepada UMNO 30 kerusi, jika UMNO hanya dapat sekitar 12 atau 13 kerusi, sudah tentu UMNO dengan sendirinya akan mati.

“Jadi jika UMNO bersama Anwar dalam PH yang tidak ada parti Melayu, sudah tentu kawasan Melayu akan dapat kepada UMNO semua, manakala parti lain dalam PH akan bertanding dalam kawasan campuran, oleh itu UMNO akan ‘hidup’ dengan Anwar dan ‘mati’ kalau bersama Muhyiddin,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Ahmad Zahid memberi keyakinan kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa pemimpin parti itu akan kembali menjadi Perdana Menteri dalam jajaran baharu yang bakal dibentuk.

Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO itu dalam pertemuan bersama ahli MT sebagai menyokong usaha UMNO menarik balik sokongan daripada kerajaan PN.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/politik/2021/07/ahmad-zahid-jadi-pm-hanya-mainan-psikologi/

BACA JUGA :Terkini !!! Pejabat PM sahkan Muhyiddin masih dirawat di hospital