Panas !!! Pemimpin Pas dedah sikap tergesa-gesa Bersatu daftar PN, dakwa satu kesilapan

Oleh MHDAILY

Pemimpin Pas dedah sikap tergesa-gesa Bersatu daftar PN, dakwa satu kesilapan.Memilih salah satu antara MN atau PN bukanlah satu ultimatum, malah sekiranya digunakan pendekatan yang betul seperti strategi lautan biru kedua-dua boleh dipilih bersama. Hakikat asalnya MN seumpama nukleus yang kemudiannya mencetuskan momentum yang lebih besar bernama kerajaan PN. Dengan pengertian lain, ia bermaksud tanpa pengukuhan MN, kerajaan PN tidak dapat dipertahankan.

MN adalah tercetus daripada kesedaran bahawa kestabilan politik Malaysia harus dicorak oleh kaum terbesar iaitu umat Melayu dan bumiputera, serta menghalang campurtangan asing terhadap hal ehwal negara Malaysia. Pembentukan MN bukan bermula pada 14 September 2019, tetapi telah melalui bibit-bibit peristiwa yang panjang lebih sedekad sebelum tarikh tersebut.
Di pihak PAS kesedaran tentang agenda penyatuan ummah ini telah timbul sebaik sahaja selepas PRU ke-12 tahun 2008, apabila Majlis Syura Ulama membahaskan satu kertas kerja berkisar tentang halatuju kerjasama politik PAS selepas pilihanraya umum tersebut. Ia kemudian diikuti oleh langkah yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk berkerjasama rapat dengan NGOs dan NGIs Melayu.

Selepas PRU ke 13 tahun 2013, lebih banyak lagi episod kerjasama terbuka antara PAS dan UMNO yang turut disertai oleh NGOs dan NGIs Melayu berlaku. Ia menjadi faktor utama golongan yang tidak menyukai agenda penyatuan ummah di dalam PAS ketika itu kepanasan lalu bertindak keluar dari PAS selepas Muktamar PAS tahun 2015. Oleh sebab itu, pembentukan MN sebenarnya melalui proses yang organik.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Segala kebimbangan terhadap dampak perpecahan ummah menjadi kenyataan apabila selepas PRU ke-14, Malaysia jatuh ke tangan PH. Selama 22 bulan PH memerintah jatidiri Malaysia yang asal telah dihakis oleh gagasan Malaysia Baru dan campurtangan asing terhadap politik negara mulai melebar. Dampak perpecahan ummah seperti yang digambarkan benar-benar menjadi mimpi ngeri.

Pemimpin
Melihat situasi yang getir ini dua parti terbesar umat Melayu bingkas mengatur langkah untuk merapatkan saf dengan semangat “Bersatulah Wahai Kaum Muslimin” dan “Bersatu Kita Bersatu”. PAS dan UMNO mula memecahkan tembok pemisahan antara mereka dan merangka secara serius ke arah bermuafakat. Di pihak PAS sendiri, Muktamar PAS tahun 2019 meluluskan sebulat suara agenda penyatuan ummah ini.

MN yang dimeterai Piagamnya dan MoU pada 14 September 2019, muncul sebagai ketumbukan yang besar yang boleh mencetuskan tsunami baru mencorakkan lanskap politik Malaysia. Dengan sifatnya sebagai nukleus yang menjana momentum baru politik Malaysia, akhirnya pada 1 Mac 2020 terbentuk sebuah kerajaan baru yang kemudiannya dinamakan sebagai PN.

Hakikatnya PN adalah gabungan besar atau grand coalition yang menggabungkan gabungan parti-parti politik iaitu GPS, MN (BN dan GAGASAN) dan parti-parti sendirian seperti BERSATU, STAR dan PBS. Pada ketika itu, PN bukanlah parti politik berdaftar tetapi sebuah gagasan politik yang lebih besar menaungi parti-parti yang membentuk kerajaan daripada seluruh Malaysia.

MN sebagai nukleus yang dianggotai ketika itu oleh PAS yang mewakili GAGASAN dan UMNO yang mewakili BN mendukung konsep grand coalition atau gagasan politik yang lebih besar ini. Bagaimanapun, ada cadangan dari BERSATU supaya PN ini didaftarkan sebagai sebuah parti politik berdaftar. Alasan yang digunakan oleh BERSATU adalah supaya kerajaan lebih kukuh.

Cadangan ini tidak begitu dipersetujui oleh sebahagian besar parti-parti dari Borneo di sebabkan mereka tidak mahu terikat dengan parti dari Semenanjung. Jika didaftarkan pastilah BERSATU yang mengetuai gabungan ini kerana PM ketika itu dari BERSATU, dan dengan sendirinya kedudukan parti-parti dari Borneo ini kembali seperti sebelum PRU ke-14 yang bernaung di bawah BN.

Manakala bagi PAS dan UMNO pula, membuat keputusan bersama di bawah MN tidak bersetuju dengan pendaftaran PN sebaliknya bersetuju untuk mengekalkan PN sebagai grand coalition yang tidak berdaftar. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN juga bersetuju MN turut bernaung di bawah grand coalition PN sepertimana GPS dari Sarawak dan gabungan parti-parti Sabah.

Disebabkan BERSATU parti tunggal yang tiada gabungan di bawah naungan grand coalition PN, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN bersetuju untuk menjemput BERSATU menyertai MN. Jadi, PN menjadi sebuah grand coalition yang menaungi gabungan-gabungan MN (GAGASAN, BN dan BERSATU), GPS dan gabungan parti-parti Sabah. Maka tepatlah sifat PN sebagai gagasan politik yang lebih besar dan majmuk.

Keputusan untuk tidak mendaftarkan PN ini dibawa kembali kepada PAS dan UMNO untuk dimuktamadkan. PAS melalui Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan UMNO melalui Majlis Kerja Tertinggi UMNO memuktamadkan keputusan ini. Keputusan muktamadnya tidak mendaftarkan PN dan mengekalkan ia sebagai sebuah grand coalition yang tidak berdaftar di mana semua parti dalam kerajaan bernaung.

Selepas keputusan ini dimuktamadkan maka MN telah menjemput BERSATU menyertai MN. Kedua-dua Presiden PAS dan Presiden UMNO telah menandatangani surat jemputan rasmi mengajak BERSATU menyertai MN. Bagaimanapun, sebelum BERSATU secara rasmi menyertai MN, sekonyong-konyong BERSATU telah membuat langkah tergesa-gesa untuk mendaftarkan PN.

PAS yang sebelumnya telah membuat keputusan bersama UMNO dalam Jawatankuasa Perunding MN dan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk tidak mendaftarkan PN, telah ditarik oleh BERSATU menjadi penaja. Bukan itu sahaja, BERSATU telah menarik rakan komponen UMNO dalam BN iaitu MIC untuk turut menjadi penaja PN. Langkah inilah yang mencetuskan kemelut MN dan PN.

Langkah tergesa-gesa ini bukan sahaja mencetuskan kemelut MN dan PN sehingga hari ini, tetapi juga telah menurunkan martabat PN dari sebuah grand coalition atau gagasan politik yang lebih besar kepada sebuah gabungan politik kecil seumpama GPS, GRS, GAGASAN dan BN. Malah jika dibandingkan dengan MN, MN lebih besar gagasannya dari PN.

MN adalah muafakat antara PAS yang mewakili GAGASAN (PAS, IKATAN dan BERJASA) dan UMNO yang mewakili BN (UMNO, MCA, MIC dan PBRS). Manakala PN hanya dianggotai oleh parti-parti politik tunggal bukan gabungan, BERSATU, PAS, GERAKAN dan STAR). Dari segi struktur organisasi sahaja, MN lebih grand dari PN apalagi dari segi jumlah ahli dan kekuatan jentera.

Pendaftaran PN satu kesilapan yang besar oleh BERSATU yang telah mengecilkan martabat PN daripada sebuah grand coalition atau gagasan politik yang lebih besar kepada sebuah gabungan kecil parti-parti politik. Dengan keputusan yang diperolehi oleh PN dalam PRN Melaka baru-baru ini, kedudukannya sebagai gabungan kecil itu menjadi bertambah kecil.

Sudahlah menjadi gabungan kecil parti-parti politik, pendaftaran tersebut telah menimbulkan kemelut yang tidak berkesudahan. PAS yang berada di dalam MN dan PN seperti berada antara dua tanduk untuk membuat keputusan sama ada untuk memilih MN atau PN. Bagaimana untuk melenyapkan kemelut ini? Saya mempunyai cadangan untuk penyelesaiannya tetapi biarlah saya pendamkannya dulu.

Sumber:

BACA: Harga alat ganti kenderaan pula naik 60%