Orang ramai dakwa surau agih daging korban sudah busuk

Oleh MHDAILY

Orang ramai kecewa apabila daging korban yang diagihkan sebuah surau di Bandar Baru Bangi semalam tidak boleh dimakan kerana sudah berbau busuk.

Seorang penerima yang mahu dikenali sebagai Hadi, 40, berkata, berikutan itu rata-rata penduduk mempersoalkan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada ahli jawatankuasa (AJK) surau berkenaan.

“Saya terkilan bukan kerana tidak dapat menikmati daging korban, tetapi perkara seperti ini (daging busuk) sepatutnya tidak berlaku kerana ia berkait dengan ibadah korban umat Islam yang mengharapkan setiap agihan memberi manfaat kepada pe­nerima.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

DAGING seberat 2 kilogram yang diterima daripada sebuah surau sudah berbau busuk dan tidak boleh dimakan.

“Saya percaya lebih ramai lagi penerima yang terpaksa membuang sahaja daging yang diberikan kerana tidak lagi selamat untuk dimakan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu Hadi mendakwa, majlis pengagihan itu sepatutnya berlaku pada hari Khamis iaitu hari ketiga Aidiladha, namun dibatalkan pada saat akhir oleh pihak AJK surau tanpa diketahui alasannya.

“Saya datang ke surau sejurus selepas solat asar dan ketika itu lebih 30 orang sudah menunggu, namun selepas setengah jam saya tinggalkan lokasi berkenaan kerana tiada apa-apa berlaku.

“Lebih mengecewakan apabila pihak AJK surau tidak memaklumkan sebarang perkembangan dan kami hanya mendapat tahu majlis agihan daging itu tidak dapat dibuat pada waktu malam,” dakwanya.

Hadi mendakwa, pada keesokan harinya, dia telah dihubungi sahabatnya memaklumkan bahawa agihan daging korban sedang dijalankan dan tidak lama selepas itu dia turut menerima daging berkenaan.

Bagaimanapun katanya, da­ging seberat hampir dua kilogram itu sudah pun berbau busuk dan dia dinasihatkan supaya membuang sahaja daging ber­kenaan dengan menanamnya bagi mengelakkan sebarang kemudaratan.

“Menurut sahabat saya, da­ging tersebut dikatakan tidak disimpan di dalam peti sejuk selepas penyembelihan.

“Mungkin daging itu disembe­lih pagi atau tengah hari pada hari Khamis dan agihan dibuat semalam (Jumaat). Mungkin se­bab itu daging tersebut telah rosak dan berbau,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Isa, 30-an turut berkongsi kisah sama apabila menerima daging korban yang sudah busuk.

Lebih menyedihkan itu kali pertama dia menerima sumba­ngan daging korban, namun langsung tidak dapat merasainya.

“Tidak mengapalah mungkin bukan rezeki kami tahun ini mahu merasa daging korban. Tapi yang paling kami sedih adalah sikap AJK surau yang banyak lepas tangan sehingga membuatkan penduduk seperti ‘pengemis’.

“Lain kali beritahu awal tiada majlis agihan daging di surau, tak adalah orang ramai datang berkumpul di surau.

“Ini tidak, malam baru buat pemberitahuan, apa salahnya masa orang ramai beratur terus beritahu agihan tidak dapat dibuat,” jelasnya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/25/kami-terima-daging-korban-yang-sudah-busuk/

BACA JUGA : Empat bakul durian Musang King berharga RM12,000