Panas !!! Nurul Izzah bakal lawan Azmin di Gombak?

Panas !!! Nurul Izzah bakal lawan Azmin di Gombak?

Pimpinan tertinggi PKR belum memutuskan sama ada Nurul Izzah Anwar akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15.

Izzah menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan sama ada beliau akan mempertahankan Permatang Pauh atau bertanding di tempat lain.

“Kita perlu akur dengan keputusan parti kerana saya berpegang pada asas yang kita semua adalah ‘askar’ dalam parti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai dalam talian Shopee Keadilan.

Izzah, yang meletak jawatan sebagai naib presiden PKR pada 2018, dilihat kian aktif semula dalam politik kepartian dalam mempersiapkan PKR dan Pakatan Harapan menghadapi PRU15.

Sebelum ini, ada desas-desus menyatakan Izzah akan bertanding di Parlimen Gombak pada PRU15, Bernama melaporkan.

Jika benar, Izzah berkemungkinan berdepan dengan musuh politik ayahnya, iaitu Ahli Parlimen Gombak tiga penggal, Mohamed Azmin Ali.

Azmin adalah bekas timbalan presiden PKR. Beliau menyertai Bersatu tahun lalu dan dipecat PKR selepas perbalahan berterusan dengan Anwar dan beberapa pemimpin PKR lain.

Seorang lagi pemimpin PKR yang diuar-uarkan bertanding di Gombak adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang dahulunya juga dilihat sebagai sekutu Azmin.

Bagaimanapun, khabar angin bertebaran mengenai kemungkinan Azmin sendiri bertanding di kerusi lain.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang Izzah adalah kubu kuat PKR sejak penubuhan parti itu pada 1998. Kerusi Parlimen itu juga pernah disandang oleh Anwar dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/19/pru15-nurul-izzah-pertahan-permatang-pauh-atau-lawan-azmin-di-gombak/