Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyalahkan tindakan Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), pada Ogos lalu sehingga menyebabkan kerajaan PN tumbang.
Memetik laporan FMT, Mahathir berkata tindakan itu tidak menyalahi undang-undang tetapi ia seakan-akan menafikan hak rakyat untuk memilih kerajaan sendiri.
“Justeru, terdapat keperluan untuk menghentikan penyalahgunaan Perlembagaan,” katanya dalam catatan blog mengenai demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Mahathir turut mengulas bahawa sistem Raja Berperlembagaan diwujudkan bertujuan menghalang Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa eksekutif.
Jika kerajaan yang dipilih menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan, maka kerajaan itu boleh ditumbangkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan jika kerajaan tidak membenarkan Parlimen bersidang, satu-satunya pilihan seterusnya adalah mengadakan pilihan raya umum.
Namun katanya, pilihan raya tidak dapat dilaksanakan susulan pandemik Covid-19. Justeru, satu-satunya jalan keluar daripada kebuntuan itu adalah bagi Agong menggunakan kuasa budi bicaranya, termasuk membabitkan pelantikan Perdana Menteri.
Mahathir berkata, situasi yang berlaku dalam negara semakin bercelaru ekoran kerajaan PN terdahulu tidak mempunyai keupayaan untuk mengatasi pelbagai krisis susulan pandemik, termasuk keruntuhan ekonomi.
Beliau berkata, sehubungan itu, ia memaksa Muhyiddin Yassin, melantik timbalannya daripada Umno, sehingga membawa kepada langkah menumbangkan kerajaan.
“15 ahli Umno yang menarik sokongan membawa kejatuhan kerajaan Muhyiddin dan seterusnya mereka bekerjasama dengan ahli PN lain untuk menyokong Timbalan Perdana Menteri daripada Umno,” katanya.
Pada 3 Ogos, Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN, kurang sebulan selepas ia secara rasmi menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Keputusan parti itu sekali gus menekan Muhyiddin meletakkan jawatan, seterusnya Ismail Sabri Yaakob, dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.