Keputusan keluar kerajaan PN akan gagalkan peluang Hishamuddin jadi TPM – Sumber

Keputusan keluar kerajaan PN akan gagalkan peluang Hishamuddin jadi TPM.

Tindakan Umno mengatur langkah menamatkan sokongan untuk Perikatan Nasional dilihat akan turut menggagalkan rancangan “kumpulan Hishammuddin Hussein”, yang dikatakan mahu Umno kekal dalam PN supaya Ketua Umno Bahagian Sembrong itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Dalam Umno, bukan satu lagi rahsia bahawa Hishammuddin cuba menyelamatkan kerajaan PN yang disertai Umno kerana ini melibatkan ‘survival’ politik beliau,” kata sumber itu.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz mengumumkan beliau kembali menyokong Muhyiddin di Parlimen sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Dakwanya, keputusan itu sejajar dengan keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu.

Nazri sebelum ini dilaporkan mengaku sebagai perancang utama dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Hishammuddin.

Hishammuddin kerajaan PN

Mengulas kenyataan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi ketika dihubungi FMT berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan Nazri itu kerana beliau dikatakan sudah tidak sebulu dengan akar umbi.

“Tidak ada yang menghairankan apabila Nazri buat keputusan membatalkan keputusannya menarik balik sokongan kepada PM8 (Muhyiddin).

“Kita tahu Nazri akan ubah balik keputusannya tidak lama lagi. Nazri sudah lama terputus daripada akar umbi. Dia lebih suka mencari jalan untuk duduk lama di luar negara,” kata Puad.

Nazri baru-baru ini berkata beliau akan ke luar negara untuk urusan pendaftaran persekolahan anaknya.

Puad turut berkata, PAU 2020 telah memutuskan, selain daripada tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15, parti itu akan keluar daripada kerajaan PN selewat-lewatnya pada 1 Ogos.

Usul itu telah dibahaskan oleh Pengerusi-pengerusi Perhubungan Umno negeri yang menjadi jurucakap ketika itu.

“Ia kemudiannya diputuskan dalam ucapan penggulungan Presiden Umno dan dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan yang hadir,” kata Puad.

“Perwakilan juga bersetuju memberi mandat kepada Presiden untuk berbincang dengan MKT Umno jika dirasakan ada tarikh yang lebih sesuai sebelum 1 Ogos untuk Umno keluar daripada kerajaan PN.”

Tambahnya, Umno masih kekal dengan pendirian tidak ada sebarang kerjasama rasmi dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

Namun Puad menegaskan, MKT Umno tidak pernah membincangkan isu kerjasama tersebut, sebaliknya berkata, ia hanya retorik dan propaganda mereka yang mahu menghalang keputusan PAU 2020 supaya parti itu keluar daripada kerajaan PN.

“Isu Anwar dan DAP diulang-ulang oleh kumpulan yang sayangkan jawatan dalam kerajaan PN. Ia dijadikan ‘alasan’ untuk mengelirukan akar umbi Umno sedangkan isu itu tidak berbangkit sama sekali,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/02/tindakan-umno-keluar-pn-gagalkan-rancangan-kumpulan-hishammuddin/

BACA JUGA : Panas !!! Hampir pasti Umno tarik diri dari kerajaan PN sebelum 1 Ogos