Panas !!! Hadi minta penjawat awam tak selesa dengan cara kerajaan PN agar letak jawatan

PH

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan dikuasai parti yang memerintah walaupun tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan.

Tegasnya, jika tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Marang itu menggunakan contoh seorang pemain bola sepak profesional dari Kedah yang menerima tawaran bermain di Selangor dengan bayaran lebih mahal.

“Dalam perlawanan bola sepak antara negeri asalnya iaitu Kedah dengan pasukan bola sepak negeri Selangor, tiba-tiba dia menyerang pintu gol Selangor untuk memenangkan pasukan negeri asalnya. Ini adalah suatu perkara yang salah dari segi moral.

“Begitulah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya semalam.

Abdul Hadi berkata, pemilihan dalam kalangan teknokrat secara khusus oleh pihak kerajaan hendaklah mengikut panduan berdasarkan bidang kuasa politik pemerintah.

Beliau berkata pihak teknokrat pula perlu melaksanakan tugas mengikut dasar ditetapkan pihak pemerintah mengikut konsep pengasingan kuasa, namun tidak terputus demi memelihara tanggungjawab secara kolektif dan saksama.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menjelaskan, konsep pengasingan kuasa adalah satu doktrin pemerintahan secara demokrasi yang mengasingkan urusan hal ehwal negara kepada tiga badan utama iaitu pemerintah, perundangan dan kehakiman.

Bagaimanapun katanya, isu itu menjadi perdebatan hangat dalam media perdana dan media sosial, sehingga menimbulkan kecelaruan apabila mereka yang jahil mendedahkan sifat jahil murakkab (sangat jahil).

“Islam mendahului Barat dalam menerapkan sistem ini dan ia dilaksanakan bagi menegakkan negara bermasyarakat majmuk dan madani yang sangat luas sempadan negaranya, walaupun pada zaman nabi belum wujud kemudahan seperti hari ini.

“Selain itu juga, perlu difahami bahawa ketiga-tiga badan itu disebutkan dengan pemisahan kuasa, bukan bermakna ia putus berkerat rotan, sehingga langsung tidak boleh berlaku sebarang campur tangan,” katanya.

Tegasnya, setiap badan itu wajib mengikut dasar kerajaan dan bergerak berdasarkan dasar yang ditentukan oleh kerajaan yang memerintah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Surah al-Qasas ayat 26 menegaskan iktibar dalam memilih setiap individu yang diberikan amanah untuk mentadbir negara, berpandukan firman Allah.

Sementara Abdul Hadi turut menegaskan apabila pihak paling berkuasa berkewajipan melantik seseorang individu, maka mereka juga berhak bertindak sekiranya terdapat salah laku.

Katanya, bahkan kedua-dua pihak iaitu pihak pemerintah dan ketiga-tiga badan mestilah sentiasa berhubung antara satu sama lain ibarat pelbagai anggota dalam satu jasad.

“Pada masa sama, setiap pihak bergerak mengikut peranan masing-masing, seperti kepala dan badan, kaki dan tangan, telinga dan mata dan lain-lain anggota.

“Begitulah juga anggota dalam kerajaan, semua pihak berperanan mengukuhkan kerajaan dan negara dengan penyelarasan, bukannya dengan menimbulkan kecelaruan dan percanggahan antara satu sama lain dalam mengurus dan mentadbir,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata ketua negara bertanggungjawab memantau perjalanan jentera kerajaan dalam semua kementerian dan jabatan serta berhak campur tangan berdasar konsep semak dan imbang, apabila berlakunya penyelewengan dan salah laku.

Beliau berkata campur tangan dengan mengenakan pelbagai tindakan disiplin, bukannya campur tangan dalam urusan pentadbiran yang betul.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/815501/letak-jawatan-jika-tidak-selesa-dengan-kerajaan-abdul-hadi

COMMENTS

Wordpress (0)